Saya Akan Menghadap Tuanku Muhriz Pada 28 Jun – Aminuddin

Aminuddin (dua dari kanan) ketika melawat pameran sempena Karnival Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Madani Jom Pilih Kemahiran Zon Selatan 2023 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, Rembau. Foto Facebook Menteri Besar Negeri Sembilan.
REMBAU, 16 Jun – Dato’ Seri Aminuddin Harun memaklumkan beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 28 Jun ini bagi mendapatkan perkenan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Minggu terakhir saya akan menghadap Tuanku, hari Rabu minggu terakhir (bulan Jun) saya akan menghadap Tuanku untuk dapatkan perkenan pembubaran,” katanya kepada pemberita pada Karnival Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Madani Jom Pilih Kemahiran Zon Selatan 2023 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu memaklumkan DUN Negeri Sembilan akan dibubarkan pada 30 Jun ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Negeri Sembilan bersama lima buah negeri lain iaitu, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan tidak membubarkan DUN masing-masing semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan memaklumkan tidak mengetahui hasil rundingan akhir pembahagian kerusi antara PH dan BN bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri yang berlangsung malam semalam.
“Saya tidak dapat hadir malam tadi dan saya belum dapat keputusan lagi,” katanya yang juga merupakan Naib Presiden KEADILAN.
Rundingan antara gabungan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan berlangsung semalam di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dengan dihadiri delegasi daripada kedua-dua pemimpin PH dan BN.
Namun tiada butiran lanjut diberikan selepas rundingan itu selesai kira-kira jam 11.45 malam.
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/dsaminuddin
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun
