294 Maut Akibat Campak, Gejala Makin Buruk Di Bangladesh

Jangkitan campak telah merebak ke 58 daripada 64 daerah di Bangladesh, iaitu 91 peratus, sekali gus menunjukkan penularan meluas pada peringkat nasional.
DHAKA, 4 Mei – Campak dan gejala seakan-akan campak telah meragut nyawa 10 lagi kanak-kanak di Bangladesh, menurut pihak berkuasa kesihatan, semalam, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 294 sejak pertengahan Mac lalu, lapor Anadolu Ajansi.
Lebih 1,260 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini mencecah lebih 45,800, menurut buletin Direktorat Jeneral Perkhidmatan Kesihatan.
Ibu negara, Dhaka, mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 149 kes.
Pesakit dari kawasan luar bandar dilapor mendapatkan rawatan lanjut di Dhaka, termasuk kemudahan sokongan hayat.
Bangladesh kini berdepan kekurangan serius kit ujian susulan penularan wabak itu di seluruh negara.
Bulan lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan jangkitan campak telah merebak ke 58 daripada 64 daerah, iaitu 91 peratus, sekali gus menunjukkan penularan meluas pada peringkat nasional.
Kementerian Kesihatan telah melancarkan kempen vaksinasi khas. Sejak April lalu, pihak berkuasa telah memvaksin lebih 16.23 juta kanak-kanak.
WHO memaklumkan wabak itu dikaitkan dengan penurunan liputan vaksinasi, khususnya susulan kekurangan bekalan vaksin di seluruh negara antara 2024 hingga 2025.
Campak ialah penyakit virus sangat mudah berjangkit yang kebanyakannya menjejaskan kanak-kanak dan boleh menyebabkan komplikasi serius, termasuk radang paru-paru, keradangan otak serta kematian, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan atau tidak divaksin.
Ia kekal sebagai antara punca utama kematian kanak-kanak yang boleh dicegah melalui vaksin di seluruh dunia.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


