Seluruh Dunia Menunggu Ucapan Sulung Rafizi Sebagai Timbalan Presiden KEADILAN

SHAH ALAM, 16 Jul – Setelah menang besar dalam Pemilihan KEADILAN 2022 lalu, kini seluruh dunia menanti ucapan sulung Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden KEADILAN.

Kemenangan besar yang diraih sama ada jumlah undi anggota dan jumlah Ketua Cabang daripada 222 cabang keseluruhan, menandakan permulaan era baharu parti paling ramai anggota dalam Pakatan Harapan (PH) itu.


Para perwakilan dari Sabah berkata, mereka sanggup turun semata-mata mahu mendengar amanat pertama Rafizi setelah mereka memilih bekas Ahli Parlimen Pandan itu di cabang masing-masing pada pemilihan baru-baru ini.

“Kami dari Ranau, Kota Marudu, Sipitang dan Tuaran sepakat sanggup turun dari Sabah semata-mata mahu meraikan kemenangan saudara Rafizi sebagai timbalan presiden,” jelas mereka.


Ujar mereka lagi, kesudian Rafizi mendengar suara rakyat Sabah dalam siri jelajah Timbalan Presiden di Kota Kinabalu tempoh hari ternyata memikat hati mereka dan gembira dengan kemenangannya menjawat jawatan nombor dua dalam parti.

“Mendengar ucapan Rafizi sempena kemenangan beliau sebagai timbalan presiden yang kami nanti-nantikan seolah kemuncak kongres parti tidak lengkap tanpa ucapan sulung beliau,” jelas perwakilan Tawau yang enggan namanya disiarkan.

Manakala perwakilan Cabang Betong, Sarawak, Samaruddin Ajing menyifatkan ucapan sulung Rafizi sebagai Timbalan Presiden akan menyuntik semangat anggota dan rakyat Malaysia yang akan disiarkan secara langsung esok.


“Kedatangan kami ke kongres untuk mendengar sendiri amanat pertama saudara Rafizi sebagai Timbalan Presiden KEADILAN akan memberi semangat baharu kepada kami dan rakyat seluruh negara,” ujarnya.

Menurut aturcara yang dikeluarkan sekretariat kongres, Rafizi dijangka menyampaikan sulung kira-kira jam 12 tengah hari sebelum ucapan penggulungan disampaikan Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim sejam kemudian.

Antara perkara yang bakal disentuh Rafizi ialah persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 selain memberi ucapan dasar berkenaan pemantapan organisasi parti dan membantu parti meraih seberapa banyak kerusi parlimen dan DUN di seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *