206 Sekolah Di Kota Setar, Pendang Jalani PdPR Selama Tiga Hari Bermula Esok

Pelaksanaan ini membabitkan keseluruhan 206 sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar dan PPD Pendang bermula 29 Mac 2026.
ALOR SETAR, 28 Mac – Kota Setar dan Pendang akan melaksanakan sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) iaitu belajar dari rumah selama tiga hari bermula esok hingga Selasa (29 hingga 31 Mac) ini susulan cuaca panas melanda.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas kedua-dua daerah berkenaan merekodkan tahap suhu harian Tahap 2 selama tiga hari berturut-turut bermula kelmarin hingga hari iniberdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Pelaksanaan PdPR itu adalah selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengoperasian institusi pendidikan semasa cuaca panas.
“Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta seluruh warga sekolah sentiasa terpelihara.
“Pelaksanaan ini membabitkan keseluruhan 206 sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar dan PPD Pendang,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, sekiranya keadaan cuaca kembali normal, pengoperasian sekolah secara bersemuka akan disambung semula pada hari berikutnya berdasarkan penilaian semasa.
JPN Kedah memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan cuaca dan akan menyalurkan maklumat terkini berkaitan pengoperasian sekolah dari semasa ke semasa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

