15 Ketua Cabang KEADILAN Tolak Kepimpinan Pengerusi MPN Sabah

Sazayle Donol (dua dari kiri) mengetuai sidang akhbar menolak kepimpinan kepimpinan Pengerusi MPN Sabah di Kota Kinabalu. Turut hadir Ketua Cabang Tuaran, Razeef Rakimin (kiri).
KOTA KINABALU, 18 Mac – Seramai 15 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Sabah sebulat suara menolak kepimpinan Datuk Sangkar Rasam sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah.
Pendirian itu dinyatakan melalui akuan bersumpah (SD) mereka selain turut dimaklumkan dalam mesyuarat MPN yang diadakan pada Ahad.
Ketua Cabang Kota Marudu, Sazayle Donol Abdullah yang mewakili 15 cabang tersebut mengesahkan bahawa terdapat ketua cabang bertindak meninggalkan mesyuarat tersebut.
“Tindakan ini diambil selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk kegagalan Pengerusi Negeri, Datuk Sangkar dalam memimpin parti di negeri ini.

“Sejak dilantik menjadi pengerusi pada 2022, beliau (Sangkar) belum pernah lagi mengadakan program bagi memperkasakan parti sama ada latihan strategi, latihan kepimpinan, latihan komunikasi dan penerangan, latihan pengucapan awam, latihan pilihan raya dan pelbagai lagi program.
“Apa yang dilakukan beliau hanyalah menganjurkan majlis makan-makan bagi menyambut pemimpin dari peringkat pusat yang turun ke Sabah,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.
Tambah beliau lagi, Sangkar yang juga Ketua Cabang Keningau tidak begitu dikenali selain tidak mendapat kepercayaan majoriti kepimpinan serta akar umbi parti.
“Kegagalan beliau juga telah menyebabkan KEADILAN dipandang rendah bukan sahaja oleh rakan komponen Pakatan Harapan (PH) malah rakan dari Kerajaan Perpaduan.
“Semalam semasa mesyuarat MPN, Ketua Cabang Tuaran telah meluahkan masalah dan kelemahan kepimpinan negeri yang akhirnya beliau meminta pengerusi meletakkan jawatan dan berundur secara terhormat.
“Tindakan ini disusuli oleh beberapa lagi ketua cabang yang menyaksikan akhirnya mereka meninggalkan mesyuarat sebagai tanda protes terhadap kegagalan kepimpinan Datuk Sangkar,” katanya.
Sehubungan itu, Sazayle Donol berkata, ketua cabang ini mengharapkan kebijaksanaan Presiden KEADILAN bagi menyelesaikan kemelut ini terutama ketika parti bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada bila-bila masa.
Sebelum itu, 14 ketua cabang lain yang menyatakan keputusan sama ialah Ketua Cabang Kota Belud, Datuk Mustapha Sakmud; Ketua Cabang Kota Kinabalu, Datuk Christina Liew; Ketua Cabang Sepanggar, Peto Galim – KC Sepanggar; Ketua Cabang Tuaran Razeef Rakimin dan Ketua Cabang Pensiangan, Raymond Ahuar.
Turut menyatakan keputusan sama ialah Ketua Cabang Sipitang, Wendey Agong Baruh; Ketua Cabang Beaufort, Dikin Musah; Ketua Cabang Beluran, Basran Omar; Ketua Cabang Kinabatangan, Azmi Tambuyong; Ketua Cabang Papar, Roslee Malek; Ketua Cabang Kimanis, Awang Chuchu; Ketua Cabang Kalabakan Roslan Sapar; Ketua Cabang Batu Sapi, Aris Remigius dan Ketua Cabang Semporna, Mohd Amin Abdul Mem.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
