Politik Sarawak Di Persimpangan: Membedah Minda Rakyat Dari ‘Penjajahan Bentuk Baharu’

Perang bendera parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan bendera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di kawasan DUN Satok berhampiran dengan Medan Niaga Satok ketika tinjauan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di Satok, Kuching. Cabaran kini ialah menghapuskan ‘takiun’ yang menjadi barah dalam politik negeri ini. Foto Aizuddin Saad

PENDAPAT, 10 Jun – Dari satu sudut, perjuangan politik di Sarawak adalah perjuangan demokrasi yang baik dan aman tanpa provokasi di jalanan mahupun berlaku pertempuran antara penyokong.

Jauh sekali dikejutkan dengan ‘hiruk-pikuk’ penunggang agama di Semenanjung yang membodohkan orang Melayu dengan momokan ‘Islam terancam’ atau ‘liberal’, setakat ini.

Jarang sekali kita dengar akan berlaku pertempuran antara penyokong setiap kali pilihan raya umum atau negeri diadakan.

Perang bendera parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan bendera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di kawasan DUN Satok berhampiran dengan Medan Niaga Satok ketika tinjauan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di Satok, Kuching. Cabaran kini ialah menghapuskan ‘takiun’ yang menjadi barah dalam politik negeri ini. Foto Aizuddin Saad

Dari sudut lain pula, baiknya politik di Sarawak ini adalah apabila pilihan raya tiba bermakna “Hari Gawai” bakal bermula dengan meriahnya suasana di rumah-rumah panjang dan kawasan balai-balai raya berkemungkinan lebih meriah daripada Hari Gawai.

Apa yang berlaku, semua penyokong-penyokong di beberapa rumah panjang dikerah ke sebuah rumah panjang untuk membuat pesta sambil berkempen untuk calon pilihan raya.

Kebanyakan yang hadir pula sangat dialu-alukan dengan makanan yang pelbagai, segala jenis minuman ada disediakan serta “pulus” (wang) sememangnya diberikan.

Kos yang dikira lebih daripada RM20,000 untuk satu pesta itu sahaja, belum lagi beberapa pesta di tempat lain yang sama mungkin akan ada lapan hingga 10 pesta sepanjang kempen pilihan raya diadakan.

Jika kawasan pilihan raya itu besar dan berselerak seperti Parlimen Hulu Rajang yang luasnya adalah 34,080 kilometer (km) persegi yang hampir sama besar dengan negeri Pahang iaitu 35,965 km persegi yang mana jumlah pengundi hanya 43,438 orang setakat tahun 2022.

Selama tempoh 14 hari berkempen, saya percaya calon pilihan raya yang tidak bermodal besar semestinya akan tewas berbanding calon yang mempunyai sumber kewangan yang banyak, hampir pasti akan menang.

Berapa kos bagi satu-satu pilihan raya ini dijalankan? Belum termasuk poster dan baju, bahan kempen bercetak serta ‘billboard’ yang setiap satu mencecah ribuan ringgit.

Ada juga calon pilihan raya yang sanggup menyewa helikopter dalam tempoh itu semata-mata untuk turun berkempen di kawasan terpencil.

Jumlah kosnya tidak terkira.

Dari sudut inilah sebenarnya punca perpecahan politik kaum Dayak berlaku. Seperti lirik lagu Kongsi, “Kunci kuasa harus ada modal”.

Keadaan sebuah rumah panjang usang di kawasan DUN Bawang Assan pada 2021 semasa PRN Sarawak. Ironinya walaupun GPS menang selesa, namun rakyat terus merana. Foto Arkib

Modal perlu besar untuk pilihan raya dan lebih lagi modal perlu juga digunakan untuk menggerakkan mana-mana parti politik.

Parti politik harus ada penyokong atau ahli parti kerana asas sokongan daripada parti politik adalah kekuatan utama untuk menggerakkan parti sebelum pilihan raya diadakan.

Asasnya, perjuangan parti adalah sangat penting dalam politik. Kukuhnya perjuangan parti akan membawa parti itu ke depan dan memberi cabaran kepada parti lain.

Jika elemen ini dipenuhi, iaitu elemen perjuangan kekuatan parti menjadi asas kemenangan sesuatu parti, pada saya parti yang berasaskan kaum Dayak di Sarawak akan terus kuat tanpa lenyap seperti Parti Bangsa Dayak Bersatu (PBDS) dan SNAP.

Setiap perkara yang menyebabkan kejatuhan parti ini adalah disebabkan sesuatu parti itu tidak kukuh dari sudut kewangannya.

Mereka memerlukan “taikun” besar untuk membiayai kempen parti dan membiayai setiap pilihan raya yang diadakan.

Matematiknya mudah, “taikun” ini bukan sahaja membiayai parti dengan sumber kewangan yang besar tetapi akhirnya kepala “taikun” ini lebih berkuasa daripada presiden parti itu sendiri!

Ini yang berlaku pada parti SNAP yang dasarnya adalah parti berasaskan kaum Dayak akhirnya mereka membuka ruang untuk “taikun” menyertai parti kemudian menjadi lebih berkuasa daripada presiden.

Pepatah Melayu berkata “seperti kaduk naik junjung” akhirnya “taikun” berkuasa dan “taikun” jadi presiden.

Satu-satunya parti yang berasaskan kaum Dayak yang masih tinggal adalah Parti Rakyat Sarawak (PRS) tetapi semua tahu siapakah di belakang mereka.

Dakwaan seorang pemimpin KEADILAN Sarawak yang menunjukkan terdapat bukti GPS menggunakan pembaikan rumah panjang bagi membeli undi di saat akhir pada PRU ke-15 lalu. Foto Facebook

Ada juga pelbagai parti yang berasaskan pelbagai kaum disertai juga oleh kaum Dayak seperti Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Kesemua parti disertai kaum Dayak perlu disertai dengan kekuatan-kekuatan “taikun” yang menjadi kekuatan parti ini.

Walhasil inilah senario yang berlaku tanpa ada proses ‘semak dan imbang’ malah terus diamalkan sehingga ke saat ini.

’Tidak Guna Punyai Banyak Dasar Bila Pemimpin Masih Amal Rasuah, Salah Guna Kuasa’

Mudah untuk buat hipotesis awal iaitu kekuatan sebenar politik kaum Dayak berdasarkan kepada wang semata-mata?

Ke mana perginya pejuang-pejuang kaum Dayak yang dahulunya kuat dan sangat disegani oleh penjajah kemudian hari ini tunduk dengan “taikun” yang berlegar antara mereka.

Pandangan saya berbeza, sudah tiba masanya kaum Dayak untuk bersama-sama dalam parti yang lebih bersifat nasional untuk bina kekuatan dan asas yang kuat berbanding mengharapkan untuk bersama dengan parti sememangnya dikuasai oleh “taikun”.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merupakan parti nasional untuk seluruh rakyat Malaysia termasuk di Sarawak yang pada asasnya parti ini adalah perjuangan reformasi.

Asas parti yang kukuh dengan nilai dan semangat reformasi adalah parti yang sesuai untuk kita semua kaum Dayak bersama-sama menjadikan negara ini melaksanakan reformasi.

Apa yang penting, KEADILAN memegang kepada asas perjuangan keadilan kepada semua kaum tanpa rasa sedikit pun yang tertindas.

Pemimpin kaum Dayak Jame Stephen pernah membangkitkan isu kaum Dayak namun dipandang sepi kerana tidak mempunyai ‘kepentingan’ selain menjadi ‘deposit tetap’ kerajaan negeri setiap kali PRU diadakan.

KEADILAN juga menawarkan ‘jalan keluar’ bagi rakyat Sarawak yang mahu ‘membebaskan’ minda mereka daripada ‘penjajahan bentuk baharu’ yang sedang diamalkan ‘bangsa sendiri di negeri sendiri’.

Kaum Dayak harus bersedia untuk bersama-sama arus politik perdana bersama KEADILAN dan maju ke hadapan atau kekal dengan ‘status qou’ terus dijajah minda, dijarah kekayaan milik mereka dan ditipu hidup-hidup buat kesekian kali hingga beberapa keturunan lagi.

– Pemerhati Politik Sarawak

– Artikel di atas merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Harapan MADANI


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *