SOP Kenderaan Kerajaan Bagi Urusan Rasmi Wajar Dikaji Semula

Insiden membabitkan lori Jabatan Imigresen wajar menjadi titik perubahan bagi pihak berkuasa mengkaji semula secara menyeluruh prosedur operasi standard (SOP) berkenaan penggunaan kenderaan rasmi kerajaan bagi tugas penguat kuasaan.
PENDAPAT, 20 Ogos – Yang berlaku telah pun berlaku. Tiada siapa mahu melihat tragedi menyayat hati ini menimpa warganegara sendiri, apatah lagi pelancong asing yang bercuti atau bertugas di ibu negara.
Bayangkan pula jika insiden ini melibatkan warganegara asing dari United Kingdom (UK) atau Australia contohnya, apakah pihak berkuasa baru mahu bertindak dengan cekap dan tangkas?
Apapun, tragedi maut yang meragut nyawa tiga ahli sekeluarga di persimpangan Maju Junction, Jalan Sultan Ismail baru-baru ini wajar menjadi titik perubahan bagi pihak berkuasa mengkaji semula secara menyeluruh prosedur operasi standard (SOP) berkenaan penggunaan kenderaan rasmi kerajaan bagi tugas penguat kuasaan.

Kejadian melibatkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat berwarna merah dengan lampu suar serta siren diaktifkan, sebelum terbabas dan merempuh empat pejalan kaki sekeluarga selepas bertembung dengan sebuah kereta yang melalui lampu hijau, adalah bukti jelas kelonggaran dalam pematuhan prosedur keselamatan jalan raya bagi kenderaan tugas rasmi.
Sebenarnya, garis panduan mengenai bila dan bagaimana lampu suar serta siren boleh digunakan di persimpangan sibuk perlu diperjelas dan diperketat, memandangkan penggunaannya tidak sepatutnya menjadi lesen automatik untuk melintasi lampu merah tanpa memastikan laluan benar-benar selamat.
Ia juga berkait dengan bagaimana latihan pemanduan defensif dan penilaian tahap kecekapan pemandu kenderaan rasmi terutama bagi tugas seperti rondaan penguatkuasaan pada waktu larut malam, perlu diperkukuh secara berkala, bukan sekadar sekali semasa pengambilan kerja.

Dalam melaksanakan tugas rasmi pula, apakah pemasangan alat pengesan kelajuan dan sistem pemantauan (GPS/telematik) pada kenderaan agensi kerajaan wajar dipertimbangkan bagi memastikan akauntabiliti penuh terhadap setiap pergerakan kenderaan tugas rasmi seperti mana pada kenderaan komersial?
Bukan sahaja Jabatan Imigresen Malaysia melaksanakan siasatan dalaman terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard dan keselamatan berkaitan pengoperasian kenderaan jabatan, tetapi memberi pengajaran kepada agensi lain untuk memperketatkan SOP terutama membabitkan persimpamgan lampu isyarat.
Ini kerana ia merupakan antara penyebab kemalangan maut berlaku sama ada membabitkan penunggang motosikal atau pejalan kaki yang berhenti untuk menunggu giliran.

Tragedi ini tidak boleh dibiarkan berulang; nyawa rakyat tidak seharusnya menjadi kos kepada kecuaian prosedur yang tidak seragam atau sudah lapuk.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
