Fahmi Sampaikan Warkah Persilaan Istiadat Pertabalan Agong Kepada Tun Juhar

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan Warkah Persilaan ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu hari ini. Foto Facebook Fahmi Fadzil

KOTA KINABALU, 10 Jun – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini bagi menyampaikan Warkah Persilaan ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.

Beliau yang merupakan Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat pertabalan di Istana Negara pada 20 Julai depan berkata beberapa wakil dari Istana Negara turut bersama beliau dalam kunjungan itu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu hari ini. Foto Facebook Fahmi Fadzil

Dalam pertemuan kira-kira 45 minit itu, beliau berkata Juhar telah memberikan beberapa pandangan, di samping menitipkan pesanan dan nasihat dalam melaksanakan tadbir urus yang baik, selain menyentuh mengenai kepentingan kestabilan politik.

“Ini merupakan persembahan Warkah Persilaan yang ketiga dan Insya-Allah akan diteruskan pada hari Rabu, ke Sarawak,” katanya kepada pemberita di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan Warkah Persilaan ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu hari ini. Foto Facebook Fahmi Fadzil

Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

Merujuk kepada kunjungan hari ini Fahmi berkata beliau amat teruja kerana pertama kali bertemu Juhar, dan mendengar sendiri pelbagai pandangan daripada seorang tokoh cukup berpengalaman, yang turut bercerita mengenai liku-liku kehidupan sebagai Yang Dipertua Negeri.

“Beberapa pandangan yang Tun (Juhar) telah sampaikan, Insya-Allah saya akan bawa balik ke Putrajaya untuk disampaikan,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *