Tiga Suspek Kes Tembak Pasar Raya Berjaya Ditahan

Mohd Irwan Hafiz Md Radzi (kanan) berkata ketiga-tiga suspek ditahan selepas siasatan dilakukan terhadap insiden tembakan baru-baru ini.

KUCHING, 10 Jul – Polis telah berjaya menangkap tiga lelaki tempatan disyaki suspek kes insiden melepas tembakan senapang patah di belakang sebuah pasar raya di Batu 19 Jalan Kuching-Serian, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, ketiga-tiga suspek itu berusia dalam lingkungan 23 hingga 32 tahun.

Menurutnya, tangkapan dilakukan di kawasan Batu 17 dan Batu 18 Jalan Kuching-Serian kira-kira jam 8 hingga 11 malam semalam.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut sehingga 16 Julai ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

Irwan turut memberitahu, pihaknya kini sedang berusaha mencari senjata api yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.

Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian juga boleh tampil membantu siasatan.

Difahamkan kejadian dilaporkan pada jam 1.57 pagi (Isnin), di mana tiga lelaki cedera akibat terkena tembakan.

Siasatan mendapati mangsa yang berusia antara 24 hingga 25 tahun mengalami kecederaan kesan tembakan di bahagian badan.

Ketiga-tiga mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak dan dalam keadaan stabil.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *