Pemuda Diselamatkan Dari Sindiket Tipu Kerja Di Kemboja Tiba Di Sabah

Mangsa dibebaskan awal pagi semalam dan terus dihantar balik pagi tadi daripada Kemboja ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan seterusnya ke Sabah malam ini. Foto hiasan

KOTA KINABALU, 30 Mar – Pemuda dari Keningau yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan diselamatkan di Kemboja dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira 8.30 malam tadi.

Ketua Pegawai Operasi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah Kapten (B) Jerry Jaimeh berkata, mangsa dibebaskan awal pagi semalam dan terus dihantar balik pagi tadi daripada Kemboja ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan seterusnya ke Sabah malam ini.

“Pihak MHO telah menerima laporan daripada keluarga mangsa pada 25 Mac dan sejurus selepas itu kita mengadakan misi untuk menyelamatkan mangsa. Kita telah menghubungi pihak Kementerian Luar Kemboja serta keluarga untuk menyalurkan segala maklumat sehingga mangsa berjaya diselamatkan,” katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan lelaki itu.

Beliau berkata, kes berkenaan perlu disebarkan untuk menjadi pengajaran kepada semua pihak khususnya golongan pencari kerja agar tidak tertipu dengan sindiket seumpama itu.

“Kes seperti ini sudah banyak kali berlaku namun masih ada yang menjadi mangsa kerana mereka tidak tahu dan kebiasaannya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman selalu menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, mangsa yang enggan dikenali berkata, pada mulanya beliau dijanjikan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dengan gaji lumayan.

“Saya baru dua minggu tinggal di sana dan sentiasa dijaga oleh dua atau tiga orang penjaga, oleh kerana saya baru di sana saya belum pernah dikasari mereka,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Baru-baru ini sebuah portal media melaporkan ibu mentua pemuda berkenaan yang turut enggan dikenali berkata mangsa bertolak ke Singapura pada 5 Mac lepas dan sejak itu tidak dapat dihubungi.

Katanya mangsa dipercayai terperdaya dengan pujukan dua rakan untuk bekerja di Singapura namun selepas hampir sebulan, dia akhirnya memaklumkan kepada keluarga bahawa dia berada di Kemboja.

Sidang media berhubung pemuda Sabah yang diselamatkan dari sindiket di Kemboja.

“Pada 22 Mac lalu, barulah kami dapat mengesahkan bahawa dia tidak berada di Singapura sebaliknya di Kemboja. Susulan itu, kami segera membuat laporan polis apabila kami diberitahu dia diculik dan dikurung di dalam sebuah bilik di negara tersebut dan diminta melakukan kerja berkaitan komputer,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *