Raya 2025: Lebuh Raya Terkawal, Tiada Kemalangan Besar Setakat Ini

Kenderaan masih mengalami kesesakan di belah Pantai Timur 1 dan 2 (LPT 1 dan LPT 2) berikutan peningkatan jumlah kenderaan pulang.
KUALA LUMPUR, 29 Mar – Biarpun jumlah kenderaan terus meningkat melebihi 2.5 juta setakat ini, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan sejak pelaksanaan diskaun tol 50 peratus bermula Jumaat lalu dan tamat tengah malam ini.
Menurut pemantauan CCTV, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2, keadaan secara keseluruhannya dilihat terkawal dibantu kira-kira 28 lokasi SmartLane yang diaktifkan sejak semalam.
Rata-rata pengguna lebuh raya lega biarpun menempuh kesesakan luar biasa dengan ada di antaranya memakan masa lebih lima jam daripada kebiasaan di luar musim perayaan sampai ke destinasi masing-masing.
Seorang pekerja swasta, Muhamad Farid Fazil, 31, berkata, perjalanan balik ke Kangar, Perlis pada tahun ini mengambil masa selama 10 jam.
Katanya, tempoh waktu itu lebih lama berbanding kebiasaannya iaitu sekitar enam ke tujuh jam sahaja.
“Saya memulakan perjalan dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 malam dan tiba di kampung halaman di Kangar sekitar pukul 8 pagi.
“Kelewatan dalam tiga ke empat jam jika dibandingkan dengan tempoh perjalanan balik pada bukan musim perayaan. Kesesakan mungkin disebabkan ramai balik pada masa sama jadi kenderaan bertambah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, keadaan jalan adalah baik dan tiada kemalangan dilihat sepanjang perjalanan itu.
Seorang perantau, Mohd. Solihi Ismail, 42, berkata, dia yang memulakan perjalanan dari Shah Alam kira-kira pukul 7 pagi tadi mengambil masa kira-kira 10 jam untuk pulang beraya di Chendering, Kuala Terengganu.
“Jalan memang sesak, dari Gombak menuju ke Genting Sempah, perjalanan mengambil masa hingga empat jam.
“Bila buka Google Maps, dia cadangkan suruh berpatah balik. Tapi saya teruskan saja perjalanan.
“Tahun lepas saya dan keluarga pulang ke Terengganu dua ke tiga hari sebelum Aidilfitri juga, tetapi tidak sesak seperti tahun ini. Sepanjang perjalanan tidak ada kemalangan berlaku, memang kesesakan terjadi sebab kenderaan banyak,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
