Shah Firdaus Layak Digelar “The Terminator” – Azizulhasni

NILAI, 19 Jun – Datuk Azizulhasni Awang memuji persembahan seorang lagi wakil negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang turut berada di pentas podium walaupun terbabit dalam kemalangan di separuh akhir.
Sebaik perlumbaan tamat, Azizulhasni yang dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ berpelukan dengan Shah Firdaus selain turut menggelar pelumba berusia 27 tahun itu dengan gelaran ‘Shah the terminator Firdaus’.
“Shah ‘terminator’. Menda (kemalangan) itu berlaku depan saya, dia jatuh dan terpelanting… dia bangun, cuba duduk atas karbon itu yang mana tempat duduk yang patah. Tengok dekat badan dia ada kayu dan karbon dalam seluar.
“Sukar dipercayai, semangat dia memang di tahap berlainan dan cuba untuk kayuh lagi. Kalau dia berputus asa, tak mungkin ada di final. Sama seperti semangat saya tunjukkan pada 2011, semangat juang sebegitu patut ada dalam diri atlet. Dia memang ‘the terminator’,” kata Azizulhasni.
Dalam pada itu, Shah membuktikan dia layak untuk menerima gelaran berkenaan meskipun terpaksa mengharungi perlawanan final dengan basikal prototaip yang tidak biasa digunakannya selepas yang asalnya ranap teruk akibat kemalangan di separuh akhir.
“Di awal separuh akhir tak ada masalah. Apabila Jepun membuat langkah, kayuhan saya memang baik tetapi tiba-tiba saya tak tahu apa berlaku… rupanya pelumba China itu tersilang tayar dengan pelumba Jepun dan kami berlima ‘terbang’.
“Saya nak habiskan perlumbaan saja. Walaupun nombor enam, hanya nakkan mata saja, misi nak kumpul mata Olimpik. Saya ambil basikal semula, saya tak tahu apa berlaku pada basikal, hanya kayuh saja. Tapi saya tak boleh tekan kaki saya, basikal saya ranap teruk tetapi nasib boleh gerak lagi (sehingga garisan penamat),” katanya.
