Semua Permohonan Kewarganegaraan Melalui Tapisan Ketat KDN – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution meneliti dokumen permohonan kewarganegaraan di pejabatnya di Putrajaya pada Khamis. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
PUTRAJAYA, 13 Jun – Semua permohonan membabitkan kewarganegaraan akan melalui tapisan yang sangat ketat.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan itu menerusi penegasan menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dipetik sebagai berkata, tapisan itu termasuk semakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Insya-Allah janji saya tetap sama iaitu untuk segera membuat keputusan kepada pemohon yang layak serta melepasi segala prosedur yang telah di tetapkan oleh KDN. Doakan supaya dipermudahkan,” ujarnya melalui hantaran di laman media sosial pada Khamis.
Dalam hantaran itu juga, beliau turut menyertakan foto prosedur semakan semula segala dokumen penting berkaitan permohonan kewarganegaraan di pejabatnya.
“Saya tahu baru-baru ini terdapat isu berhubung kewarganegaraan yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.
Difahamkan isu berkenaan ditimbulkan sesetengah pihak kononnya program Malaysia My Second Home (MM2H) dimanipulasi bagi membenarkan warganegara China memperolehi kewarganegaraan dengan mudah.
Pada 11 Mac lalu, beliau menafikan dakwaan terdapat 1.2 juta warga asing dari China tinggal secara tidak sah di negara ini.
Saifuddin Nasution berkata dakwaan dibuat oleh Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) itu jauh tersasar dan tidak sepatutnya dipertahankan.
“Kenyataan 1.2 juta orang China masuk, tak keluar (itu) cukuplah. Itu dakwaan yang tersasar sama sekali, tak boleh dipertahankan berdasarkan kepada fakta dan angka yang saya bentangkan,” katanya semasa ucapan penggulungan ucapan Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

