PM Anwar Jamin Kerajaan Tetap Sediakan Peruntukan Untuk Sukan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani replika poskad bagi memberi sokongan 1 juta untuk atlet negara sambil disaksikan Hannah ketika pada Malam Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Bidang sukan akan terus diberikan perhatian oleh kerajaan walaupun negara menghadapi kekangan kewangan dan kelembapan ekonomi.

Jaminan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan industri sukan di negara ini adalah sebahagian daripada budaya yang mampu meningkatkan lagi taraf kehidupan rakyat selain menggalakkan budaya sihat di semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, aktiviti sukan di negara ini juga dapat membentuk keperibadian rakyat dengan mencintai negara selain menyemarakkan semangat patriotik apabila beraksi di pentas antarabangsa.

“Kita akan cuba sedaya upaya kerana sukan ada kekuatannya. Kerana ia adalah satu kegiatan aktiviti yang tidak memisahkan kelompok desa bandar dan pedalaman, kaum atau agama menerusi satu minat di dukung bersama.

“Jika ada keperluan akan kita bentangkan ke Jemaah Menteri supaya semua. Walaupun menghadapi kekangan ekonomi dan kewangan kita akan beri pertimbangan untuk peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya Adam Adli Abd Halim dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat trofi pemenang untuk atlet negara sambil disaksikan Hannah ketika pada Malam Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto Bernama

Selain itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan turut komited untuk terus memberi kelonggaran daripada segi percukaian kepada penderma yang menaja persatuan sukan di negara ini.

“Saya mengulangi kenyataan pada rakan di kementerian termasuk persatuan bahawa kelonggaran daripada segi percukaian kepada penderma yang berikan bantuan dan sokongan untuk majukan sukan di negara ini,” katanya.

  • Oleh Syazwan Msar dan Amirul Fazli Zulkafli


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *