Segerakan Pembinaan Hospital Sungai Manila Amat Diperlukan Penduduk Libaran

Projek Hospital Rancangan Sungai Manila dirancang dibina bawah DUN Sungai Manila, iaitu satu daripada tiga DUN bawah Parlimen Libaran.

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Seorang wakil rakyat Sabah mempersoalkan kelewatan projek mendesak termasuk rancangan pembinaan Hospital Rancangan Sungai Manila, Sandakan, yang berlarutan hampir 15 tahun.

Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mendakwa, pembinaan pusat rawatan dan kesihatan itu dimasukkan bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) hingga RMK-12, namun sehingga tahun ini masih belum dilaksanakan.

“Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan adakah hospital tersebut telah dimasukkan ke dalam senarai keutamaan di dalam RMK-13.

“Ataupun tidak disenaraikan oleh kerajaan negeri kepada kementerian memandangkan hospital itu berada di kawasan pembangkang?” soalnya ketika membahaskan usul titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Pada Oktober tahun lalu, Kementerian Ekonomi berkata RMK-13 dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga 2025, iaitu kesinambungan RMK-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Projek Hospital Rancangan Sungai Manila dirancang dibina bawah DUN Sungai Manila, iaitu satu daripada tiga DUN bawah Parlimen Libaran.

Kini, penduduk DUN berkenaan yang mencecah lebih 30,000 orang hanya berharap kepada kemudahan Hospital Duchess Of Kent, Sandakan yang berusia lebih 73 tahun.

“Hospital sedia ada iaitu Hospital Duchess of Kent tidak lagi mampu untuk menampung keperluan kesihatan penduduk daerah Sandakan khasnya Parlimen Libaran.

“Saya mengharapkan kerajaan mempercepatkan cadangan pembinaan hospital ini bagi menampung keperluan kesihatan penduduk setempat khususnya di Parlimen Libaran,” kata Suhaimi.

Mengikut perancangan, Hospital Rancangan Sungai Manila akan dilengkapi dengan unit kecemasan, klinik pergigian, wad pesakit dan wad bersalin.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *