Raya 2023: Foto, Video Agong Berkenan Tuang Madu Pada Pinggan PM Anwar Curi Tumpuan Netizen

KUALA LUMPUR, 23 Apr – Foto dan video Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara spontan berkenan menuang madu ke atas pinggan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri tumpuan netizen pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri 1444 Hijrah yang disambut pada Sabtu.

Kemesraan dan keakraban Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri jelas terpancar dalam video tersebut yang kini tular di media sosial sejak dimuat naik petang semalam.

Anwar turut berkongsi video ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Dewan Santapan Utama, Istana Negara, bersama Yang di-Pertuan Agong.

“Alhamdulillah Syukur.
Gandingan mantap di- suatu jalinan tautan Kasih yang suci dan terpendam diantara keduanya,dua pemimpin tertinggi negara.
LEBUR dan LULUH rasanya melihat gelagat kesantunan berbudi tinggi,gerak dan perilaku yang MULUS dan TULUS.
Ampun Tuanku Paduka DYMM.Yang di-Pertuan Agong serta Datuk Seri PM KE10 🤲❤️
Selamat hari Lebaran,
Minal ‘Aidil Walfa’izin,” kata Khalifah Yusof yang menulis di ruangan komen Facebook Anwar.

Majlis itu turut dihadiri antaranya oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa menteri kabinet dan perwakilan kedutaan asing di negara ini.

Antaranya Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia dan Duta Besar Republik Indonesia serta kenamaan asing yang berada di negara ini.

Kira-kira 2,000 hadirin yang terdiri daripada penjawat awam, pemimpin masyarakat serta komuniti Orang Asli turut memeriahkan majlis berkenaan.

Sementara itu, Anwar menzahirkan harapan agar sambutan Aidilfitri tahun ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan nilai kasih dan sayang.

Beliau turut berharap semangat kepelbagaian yang dipupuk selama ini akan terus diterapkan dalam diri setiap rakyat dalam usaha mempererat silaturahim.

“Aidilfitri Mubarak kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

“Saya amat berharap sambutan Aidilfitri tahun ini, bersama kita tingkatkan sikap kasih dan sayang serta pupuk terus semangat kebhinekaan yang selama ini mengikat persaudaraan antara satu dengan yang lain sesama rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *