Pelancong China Maut Terjun Laut Ditemui Lemas

Mayat mangsa berjaya ditemukan dan kes diklasifikasi sebagai laporan kematian mengejut.
SEMPORNA, 14 Dis – Pelancong lelaki warga China yang dipercayai terjun ke laut ditemukan lemas, di perairan Pulau Mabul, di sini, semalam.
Mayat mangsa berusia lingkungan 30-an ditemui berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang di kedalaman 17 meter.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu, kira-kira jam 11.33 pagi.
Katanya, bertindak atas maklumat, Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dengan bantuan penyelam dari pusat peranginan berhampiran telah membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mangsa akhirnya ditemukan berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang di kedalaman 17 meter.
“Ketika ditemukan, mangsa masih memakai beg galas (back pack) warna kelabu mengandungi tiga batu bata,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, berkaitan kejadian itu, polis telah membuka kertas siasatan yang diklasifikasi sebagai laporan kematian mengejut.
Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan dalam masa 48 jam sekirannya masih tiada waris yang tampil untuk menuntut mayat mangsa.
“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan segera menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Ali Amat di talian 013-2120852 atau Balai Polis Semporna di talian 089-782020.
“Orang ramai juga boleh tampil untuk menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
