Kastam Rampas 16.655 Juta Rokok Seludup RM12.64 Juta

Foto hiasan.
KUCHING, 26 Mar – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 16.656 juta batang rokok kretek dipercayai diseludup bernilai RM12.64 juta termasuk cukai pada 12 Februari lalu, yang merupakan antara rampasan terbesar JKDM Sarawak.
Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata, rokok kretek pelbagai jenama itu ditemukan dalam serbuan di sebuah premis tanpa nama dalam kawasan terpencil di Jalan Semaba Batu 5, di sini.
Menurutnya, dalam serbuan sekitar jam 9.30 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Selain itu, sebuah lori yang disyaki digunakan untuk mengangkut rokok tersebut turut disita dengan anggaran nilai RM80,000,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sarawak, di sini hari ini.
Norizan mendedahkan modus operandi yang digunakan adalah menyimpan rokok seludup di premis tanpa nama dalam kawasan terpencil sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Sebahagian daripada rokok tersebut katanya, berada di pasaran di Kuching, manakala selebihnya dihantar ke daerah-daerah lain.
“Kes masih dalam siasatan namun dipercayai rokok seludup ini dibawa masuk ke negara melalui pelbagai cara, termasuk laluan laut dan udara, serta melalui beberapa pelabuhan seperti Senari dan Pending.
“Malah, ada yang cuba menyeludupnya dengan menyamar sebagai barangan tekstil atau menggunakan jenama lain, ia masih dalam siasatan,” katanya lagi.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sementara di bawah Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976 iaitu cubaan mengelakkan dengan Fraud Duti Eksais, boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000, yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, Norizan menggesa orang ramai untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
Tegas beliau, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


