Bapa, Anak Perempuan Maut, Tiga Lagi Tercampak Keluar

Mayat mangsa diletakkan ke kenderaan polis untuk dihantar ke Hospital Simunjan. Foto JBPM Sarawak
SIMUNJAN, 15 Feb – Seorang bapa dan anak perempuannya meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Jalan Gedong di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.26 petang.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori dan terdapat mangsa (pemandu) masih berada di dalam kereta.
“Tiga lagi mangsa telah tercampak keluar dari kereta semasa kemalangan berlaku,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam kereta, namun disahkan telah meninggal dunia.
“Komander operasi melaporkan dua mangsa iaitu pemandu (kereta) dan seorang kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dua lagi mangsa iaitu seorang wanita dan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun telah dikejarkan ke Hospital Simunjan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Mayat mangsa yang berusia 37 tahun dan anaknya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Manakala, pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pasukan bomba sebelum berangkat pulang turut melakukan kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.15 petang.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
