Bantulah Kesusahan 20 Pelajar Harungi Banjir, Jalan Rosak Ke Sekolah

Kesengsaraan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mangkapon, Pitas mengharungi banjir pergi dan balik dari sekolah, apabila jalan kampung mereka digenangi air sehingga paras pinggang. Foto Johary Indan
PITAS, 4 Dis – Sekumpulan 20 murid daripada tiga kampung, di sini, bergadai nyawa mengharungi banjir, jalan rosak dan becak sejauh lebih empat kilometer pergi dan balik sekolah setiap kali musim tengkujuh sejak beberapa tahun lalu.
Kesemuanya yang belajar di tahun empat, lima dan enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Mangkapon, adalah anak penduduk Kampung Latip, Patani Baru dan Batu 10 Lout.
Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila hujan berterusan. Ia menyebabkan paras Sungai Kulamba, tidak jauh dari jalan kampung berkenaan, melimpah sehingga menenggelamkan permukaan laluan.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SK Mangkapon Juniol Masingkin, 49, berkata, banjir melebihi paras pinggang akan melanda dua hingga tiga kali setahun, jika hujan kerap melanda.
“Kejadian terbaharu berlaku minggu lalu dengan paras air mencapai paras pinggang ekoran hujan lebat berlanjutan beberapa hari di daerah ini.
“Bagaimanapun, kejadian itu tidak menghalang ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah dengan berjalan kaki mengharungi banjir. Ia bagi memastikan murid berkenaan tidak ketinggalan dalam pembelajaran,” katanya.
Untuk rekod, kampung terbabit berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bengkoka dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) ialah Datuk Harun Durabi serta di bawah Parlimen Kudat yang diwakili Datuk Verdon Bahanda.
Beliau berkata, ketika cuaca baik, murid hadir ke sekolah dengan menaiki kenderaan. Namun ketika jalan itu digenangi air, mereka dihantar ibu bapa dengan berjalan kaki lebih empat kilometer mengharungi banjir.
“Apabila air melebihi paras bahaya, murid tidak dapat menghadiri sesi persekolahan mereka kerana faktor keselamatan.
“Ini kerana, tiada jalan lain untuk membolehkan penduduk keluar masuk dari kampung itu sebagai laluan alternatif,” katanya.
Juniol berkata, jumlah murid yang menggunakan jalan itu ramai, tetapi sebahagian mereka tinggal di asrama berhampiran sekolah dan hanya pulang ke kampung ketika cuti persekolahan.
Katanya, jalan kampung berstatus jalan pertanian itu kerap diselenggara untuk memudahkan pergerakan penduduk, namun sungai berhampiran tidak dibersihkan atau ditambah kedalaman menyebabkan ia mudah melimpah.
Sehubungan itu, dia berharap, kerajaan dapat menaik taraf jalan kampung itu menjadi laluan berturap demi keselesaan penduduk, murid dan tenaga pengajar SK Mangkapon.
Katanya, beberapa bahagian jalan itu yang melalui kawasan berbukit berhampiran sekolah juga licin dan perlu ditabur batu untuk mengurangkan masalah itu.
Dalam perkembangan berkaitan, jalan Kampung Pungiton Polod yang menjadi laluan murid SK Mangkapon juga menghadapi masalah sama sering dilanda banjir apabila hujan lebat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



