Anak Anggota Polis Ditemukan Lemas

Mangsa dilaporkan keluar rumah seorang diri sekitar jam 12.30 tengah hari pada Sabtu. Foto Arkib
RANAU, 19 Jan – Seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak anggota polis ditemukan lemas di Sungai Nopungan, Kampung Minihas, dekat sini.
Mangsa yang berumur 11 tahun itu ditemukan oleh orang kampung kira-kira jam 8.05 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, sebelum kejadian, mangsa dilaporkan keluar rumah seorang diri sekitar jam 12.30 tengah hari pada Sabtu.
Menurutnya, bapa mangsa mula menyedari mangsa tidak pulang ke rumah pada jam 5.40 petang.
“Jarak rumah mangsa dengan tempat kejadian kira-kira 500 meter,.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kedalaman sungai berkenaan kira-kira dua meter.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati keadaan arus sungai seperti biasa namun terdapat pusaran air dan belum dapat dipastikan sama ada mangsa mandi ketika itu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, orang kampung yang membantu dalam operasi pencarian menemukan mangsa sebelum dibawa ke rumah keluarganya.
Bagaimanapun jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Klinik Kesihatan Lohan, kira-kira jam 9.10 malam.
Difahamkan, mangsa adalah anak kepada seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
