Ambang 2025 Seluruh Negara Diisi Program Riadah, Kerohanian

Orang ramai membanjiri KLCC menunggu kira detik jam 12 tengah malam bagi meraikan sambutan ambang tahun baharu 2025 bersama keluarga dan rakan-rakan sehingga lewat dinihari.
KUALA LUMPUR, 1 Jan – Menjelang detik 12 tengah malam sempena Ambang Tahun Baharu 2025, sambutan di seluruh negara diisi dengan penglibatan rakyat Malaysia meraikan peralihan tahun dengan pelbagai aktiviti riadah dan kerohanian bersama keluarga termasuk sempena kedatangan bulan Rejab.
Beberapa bangunan ikonik di ibu negara seperti Menara Berkembar Kuala Lumpur dan Tun Razak Exchange (TRX) menjadi tumpuan orang ramai sejak jam 6 petang lagi bagi meraikan kehadiran tahun baharu bersama keluarga dan rakan-rakan.
Kuala Lumpur yang akan menjadi ibu negara ASEAN sepanjang tahun sempena Kepengerusian ASEAN menyambut kedatangan tahun baharu dengan penuh warna-warni mencerminkan semangat Malaysia mengepalai badan serantau itu dengan penuh keazaman.

Tidak ketinggalan Menara Kuala Lumpur meriah dengan kehadiran pengunjung termasuk pelancong asing untuk menyaksikan pertunjukan bunga api pada altitud tertinggi di negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd Nazli Saad, acara bunga api itu turut tercatat di dalam Malaysia Book of Records sebagai ‘Persembahan Bunga Api pada Altitud Tertinggi di Malaysia’ iaitu dari ketinggian luar biasa 307.610 meter dari aras tanah (401.610 meter dari aras laut).
Di PULAU PINANG, ratusan pengunjung termasuk pelancong asing menghadiri Padang Kota Lama, di George Town di sini untuk meluangkan masa bersama keluarga bagi menyambut Tahun Baharu 2025 dan mula berkumpul sejak 8 malam tadi sambil membawa makanan.
Selain itu, kira-kira 700 pengunjung membanjiri The Top di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) bagi menyertai sambutan Ambang Tahun Baharu serta menantikan persembahan bunga api tepat detik 12 malam.
Di PERAK, kira-kira 35,000 pengunjung membanjiri Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya malam ini bagi menyambut kemeriahan sambutan ambang tahun 2025 serta Finale Tahun Melawat Perak 2024.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee serta ketua jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.

Di SELANGOR, orang awam tidak melepaskan peluang meraikan malam tahun baharu dengan meluangkan masa bersama keluarga di taman tema MySports I-City, Shah Alam di sini.
Kawasan tersebut mula sesak sekitar 8 malam tadi dengan masing-masing menantikan detik 12 tengah malam bagi sama-sama menyaksikan pertunjukan bunga api.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam hantaran di laman Facebooknya berkata program Darul Ehsan Berselawat menjadi penutup tahun 2024, dengan kehadiran ratusan ribu peserta sepanjang tiga hari penganjuran yang berakhir semalam.
Di PUTRAJAYA, ribuan pengunjung berkumpul di Dataran Putrajaya berlatarbelakangkan pemetaan cahaya pada Istana Kehakiman bagi menantikan persembahan bunga api yang menandakan detik 12 malam.
Pengunjung antara lain dihiburkan dengan dendangan daripada penyanyi pop tanah air Ziana Zain serta beberapa selebriti lain selain persembahan kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia pada sambutan yang diadakan bersekali dengan Festival LAMPU2024 tersebut.
Selain itu, sambutan tahun baharu di sini turut menerapkan aspek keagamaan menerusi penganjuran Program Gema Syukur 2025 di Masjid Putra yang bermula 6 petang tadi, dengan pengisian seperti bacaan Yassin, solat hajat, tadabur al-Quran, sesi perkongsian ilmu dan qiamullail.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
