UCL: Villa Belum Boleh Rasa Selesa

Pemain Villa meraikan gol ketika menumpaskan Brugge 3-1 awal pagi tadi.

BRUGES, 5 Mar – Pengurus Aston Villa, Unai Emery menegaskan pasukannya masih mempunyai kerja perlu diselesaikan untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), walaupun meraih kemenangan meyakinkan 3-1 di Club Brugge pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik, awal pagi tadi.

Dua gol lewat termasuk sepakan penalti Marco Asensio memberikan kemenangan kepada Villa di Belgium, sekali gus memusnahkan harapan tuan rumah yang bermain dengan cemerlang untuk sekian lama.

Leon Bailey meletakkan Villa di depan pada minit ketiga perlawanan Jan Breydelstadion, tetapi Maxim De Cuyper menyamakan kedudukan pada minit ke-12.

Bailey (kanan) menjaringkan gol pertama Villa pada minit ketiga. Foto Reuters

Club Brugge memberikan saingan sengit kepada pasukan dari Liga Perdana Inggeris (PL) itu, tetapi gol sendiri Brandon Mechele pada minit ke-82 mengembalikan kelebihan Villa.

Asensio yang masuk sebagai pemain gantian, kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-88, menjaringkan gol kelimanya dalam empat perlawanan untuk memastikan kemenangan penting itu.

Keputusan itu meletakkan juara Piala Eropah 1982 itu dalam kedudukan sangat kukuh menjelang perlawanan kedua di Villa Park, minggu depan.

“Hari ini saya gembira, tetapi tetap tenang,” kata Emery.

“Kami belum berada di suku akhir. Masih ada 90 minit untuk dimainkan dan kami sudah bersedia jika perlu masa tambahan serta penentuan sepakan penalti kerana saya tahu betapa sukarnya setiap perlawanan.”

Jika pasukan Emery melengkapkan tugas mereka di Villa Park pada Rabu depan, mereka akan berdepan sama ada Paris Saint-Germain atau Liverpool di suku akhir.

Villa layak terus ke peringkat ini selepas menamatkan saingan di tempat kelapan dalam fasa liga, tetapi mereka pernah tewas 0-1 di Bruges pada awal November dan ia adalah satu perlawanan yang memberi pengajaran kepada Emery.

“Selepas perlawanan berlangsung di sini pada November lalu, mereka telah beraksi dengan sangat baik,” katanya.

“Mereka mempunyai struktur yang sangat baik ketika menguasai bola dan kami memutuskan untuk menghormati mereka daripada segi penguasaan. Perkara paling penting ialah bagaimana kami bersaing.”

Pertemuan sebelum ini ditentukan oleh sepakan penalti Hans Vanaken selepas Tyrone Mings secara aneh mengambil bola dengan tangannya di kawasan sendiri.

Mings pastinya gembira kerana memainkan peranan dalam gol minit ketiga yang meletakkan Villa di hadapan di dalam kotak penalti sama pada perlawanan awal pagi tadi.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *