Tiada Mana-Mana Negeri Terpinggir Dalam Kempen TMM2026 – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di KLIA Sepang pada Isnin. Foto Facebook Anwar Ibrahim

SEPANG, 6 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada negeri terpinggir dalam menjayakan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dan mengarahkan semua kementerian memberi tumpuan meningkatkan keupayaan Malaysia dalam bidang pelancongan, pelaburan dan ekonomi.

Unjuran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion yang bakal dijana termasuk sasaran kehadiran 35.6 juta pelancong menerusi TMM2026 mampu dicapai dengan pembabitan semua pihak kata Perdana Menteri.

“TMM2026 adalah satu pendekatan baharu dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang utama dan ini bermulanya satu inisiatif, ikhtiar supaya betul-betul mencatat pertumbuhan pelancongan ke seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di KLIA Sepang pada Isnin. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Saya minta semua kementerian memberikan tumpuan supaya Malaysia dapat meningkatkan keupayaan bidang pelancongan dan tentunya pelaburan serta ekonomi supaya tidak ada kawasan atau negeri yang tersisih dan tertinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kempen TMM2026 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Anwar berkata, sasaran kehadiran 35.6 juta pelancongan yang bakal menjana pendapatan RM147.1 bilion itu disifatkan sebagai pragmatik dan realistik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di KLIA Sepang pada Isnin. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Katanya, jika unjuran itu dicapai, ia secara tidak langsung memberi manfaat besar kepada pelbagai sektor di negara ini seperti pelancongan, makanan dan minuman serta industri berkaitan.

“Namun, di sebalik angka utama ini, matlamat kita jelas iaitu mempromosikan pelancongan yang lestari kepada alam sekitar dan komuniti. Pelancongan ini bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi sambil menyediakan pengalaman yang bermakna dan tidak dapat dilupakan kepada pelawat.

“Malaysia bukan sekadar destinasi biasa tetapi destinasi yang unik, mesra alam dan diperkaya dengan keunikan rakyatnya yang berbilang budaya dan bangsa,” katanya.

Persembahan kebudayaan memaparkan keunikan Malaysia dipersembahkan pada Majlis Peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di KLIA, Sepang pada Isnin. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri berkata, matlamat itu juga selaras dengan kerangka MADANI, iaitu nilai teras pembangunan negara dengan mengutamakan kelestarian seiring pencapaian tahap yang lebih tinggi.

“Ini diakui sebagai sesuatu yang sering diabaikan dalam keghairahan mengejar kejayaan dan pembangunan yang banyak mengabaikan aspek alam sekitar.

“Oleh itu, dalam usaha kita mempromosikan Malaysia, kita ingin mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi yang lestari dan harmoni, dengan warisan budaya yang pelbagai, berasaskan asas budaya yang kukuh dan inklusif dalam pendekatannya,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan kakitangan syarikat penerbangan pada Majlis Peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di KLIA Sepang pada Isnin. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata, kempen TMM2026 juga selari dengan usaha kerajaan untuk mempersiapkan semua negeri sebagai destinasi pelancongan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 tahun ini.

“Jadi, impak TMM2026, seperti yang saya nyatakan, akan melangkaui industri pelancongan, merangkumi sektor hospitaliti, pengangkutan, peruncitan, industri makanan, dan manfaat ekonomi akan dinikmati oleh komuniti bandar, luar bandar, dan kawasan pedalaman.

“Penekanan diberikan untuk memastikan setiap negeri dan setiap komuniti turut terbabit dalam usaha ini,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *