TERKINI – Anwar Selesai Menghadap Agong, Tidak Bincang Isu Kerajaan Baharu

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Selesai menghadap.

Kira-kira jam 11.53 pagi tadi, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar mengadakan sidang media ringkas bersama para wartawan selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Beliau muncul dari kenderaan Jaguar berwarna hitam kira-kira jam 11.51 pagi setelah menghadap Agong selama kira-kira 40 minit.

Anwar berkata, isu pembentukan kerajaan baharu tidak dibincangkan semasa menghadap Tuanku dan tidak perlu dibangkitkan sekarang katanya.

Beliau merayu Sultan Abdullah agar tidak meneruskan pelaksanaan darurat yang akan diputuskan Agong berdasarkan kuasa baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan.

IMG_1181
Anwar berkata, beliau mengutarakan pandangannya berkenaan kesan COVID-19, kewajaran Parlimen perlus bersidang dan pelaksanaan darurat yang tidak perlu diteruskan.

Anwar turut memuji kebijaksanaan Tuanku mendengar semua pandangan yang diutarakan dalam pertemuan tadi.

“Tapi berdasarkan pengalaman saya tadi, tuanku berlapang dada mendengar semua pandangan,” katanya.

Selain itu, isu jumlah vaksin yang diterima Selangor turut disentuh Anwar memetik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kecewa dengan perkembangan tersebut.

”Ini aspek penting yang tidak boleh dikesampingkan. Saya melihat pengagihan vaksin yang adil dan saksama ke semua negeri sebagai peluang terbaik untuk kita bendung penularan wabak COVID-19,” katanya.

Anwar tiba di Istana Negara sekitar 10.37 pagi tadi dan terus memasuki Pintu 2 Istana Negara.

Pemimpin pembangkang lain yang dijangka menghadap Agong petang nanti ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pula dijangka menghadap Sultan Abdullah esok.

Sementara itu, Bernama memetik Pejabat Ketua Menteri Sarawak sebagai berkata, Agong berkenan menerima mengadap ketua parti komponen GPS melalui sidang video pada 14 Jun.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *