Renung Kesilapan Kita Hingga PH Jatuh – MP, KEADILAN Cabang Wangsa Maju

WANGSA MAJU, 8 Feb – Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) wajar diambil iktibar semua penyokong PH dalam memastikan perkara sama tidak diulangi lagi.

Itu pandangan yang dilontar Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew ketika berucap sempena sambutan Tahun Baru Cina dan Tahun Baru 2022 bersama Ahli Cabang KEADILAN Wangsa Maju, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, dalam suasana yang meriah dan bersemangat, rakyat Malaysia pelbagai kaum bersama-sama ‘Lou Sang’, secara simbolik berkongsi kemakmuran dan kekayaan serta diikuti dengan acara menghadiahkan ‘Ang Pau’ dan hamper serta makanan buffet.

“Kali terakhir kita menyambut Tahun Baru Cina sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ialah pada tahun 2020 atau sebulan sebelum kerajaan PH dirampas dalam ‘Langkah Sheraton’ pada 24 Februari.
“Sudah 3 tahun kita hilang Putrajaya dan kembali sebagai pembangkang. Kita marah, kecewa tetapi kita tidak berputus asa,” ujar beliau.

Turut hadir, Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai dan Pengerusi Tetap KEADILAN Cabang Wangsa Maju, Muhamad Mustafa Ghazanfar serta kakitangan pusat khidmat serta ahli cabang.

Tambahnya, ahli-ahli baru kian bertambah setiap hari dan aktiviti-aktiviti di semua kawasan PH diteruskan walaupun Ahli Parlimen pembangkang dinafikan peruntukan oleh kerajaan.

“Namun, saya rasa, ini juga masa untuk kita perlu berfikir atau merenung di mana kesilapan kita kalah sehingga kerajaan PH jatuh.
“Kita menyalahkan Tun Mahathir dan saya tidak menafikan beliau adalah faktor utama yang mengakibatkan kejatuhan Kerajaan PH,” tambah Dr Tan.

Mengulas lanjut, sebagai Perdana Menteri PH, beliau sendiri merancang bersama Azmin Ali dan Muhyiddin Yassin menjalankan rampasan kuasa yang akhirnya mengakibatkan kejatuhan kerajaan PH.
“Tetapi tidakkah kita juga bertanggungjawab, khususnya mereka yang di dalam kerajaan dan kabinet? Kita gagal menghalang Tun Mahathir daripada membuat keputusan tanpa persetujuan Majlis Presiden PH dan kita gagal mempertahankan manifesto kita,” jelasnya lagi.

Antara para menteri kita ketika itu, ada yang cepat akan lupa derita rakyat dan bersikap angkuh. Walaupun semua itu peristiwa masa lalu tetapi jangan kita lupa mengambil iktibar.
“Ini penting kerana tidak lama lagi kita akan menghadapi PRU ke-15. Kita perlu ada naratif dan strategi baru untuk membina semula keyakinan rakyat. Kita telah kalah dalam semua Pilihan Raya Kecil (PRK) kecuali di Port Dickson.

“Kita perlu bertindak dengan segera kalau tidak, kita akan tenggelam pada GE 15 nanti. Politik masa kini penuh dengan cabaran dan ketidakpastian akibat perpecahan parti politik dan kewujudan golongan ‘pengundi 18’,” jelas beliau lagi.
Manakala beliau mahu ahli di peringkat cabang bertanggungjawab mempertahankan kawasan masing masing demi kelangsungan parti dan terus membantu rakyat.

Beliau berpesan dan memohon ahli ahli cabang supaya bersama-sama kita mempertahankan Wangsa Maju di bawah kepimpinan Sdr Andre Lai selaku Ketua Cabang.
“Saya juga mengambil kesempatan pada malam itu untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin cabang yang telah bekerja bersungguh-sungguh dan bertungkus-lumus membantu pejabat saya menyalurkan bantuan makanan kepada mereka yang terjejas waktu PKP dalam tempoh dua tahun ini.

“Sebanyak enam kali bantuan saya telah serahkan kepada rakyat dalam tempoh berkenaan,” ujar Dr Tan apabila menjelaskan program yang telah dilakukan sepanjang tempoh berkenaan.
Andre Lai selaku Ketua Cabang terus memastikan semua program anjuran cabang bersama Pusat Khidmat Parlimen Wangsa Maju bergerak seiring tanpa mengira kaum, agama dan perbezaan politik sejak menjawat jawatan berkenaan pada November 2018.
Dr Tan mahu memastikan kesinambungan antara parlimen dan cabang di bawah pimpinan Andre Lai diteruskan malah dimantapkan lagi kerjasama dan komunikasi bagi kesejahteraan hidup warga Wangsa Maju selepas PRU-15 kelak.
– MEDIA RANIA
