PRN: ‘Nasib Sanusi Masih Lagi Tak Pasti’

Sanusi belum pasti nasibnya sama ada dilantik semula sebagai menteri besar kerana belum pasti menang di DUN Jeneri. Foto Voice

SIK, 29 Jun – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor belum pasti dengan nasibnya sama ada akan kekal menjadi Menteri Besar atau akan diganti dengan wakil rakyat lain.

Muhammad Sanusi yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri berkata, pucuk pimpinan PN akan menentukan calon Menteri Besar Kedah sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.

“Tak tau lagi (jadi menteri besar atau tidak) parti akan kemuka cadangan pada Tuanku (Sultan Kedah), terpulang kepada Tuanku,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman rasmi calon oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya DUN Jeneri, Mahamad Suhaimi Man di depan Pejabat Daerah dan Tanah Sik, di sini, hari ini.

Sanusi belum pasti nasibnya sama ada dilantik semula sebagai menteri besar kerana belum pasti menang di DUN Jeneri. Foto Voice

Muhammad Sanusi bakal berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua Umno Bahagian Sik.

Mengulas lanjut, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata, beliau akan menjawab segala tuduhan dilemparkan pelbagai pihak ke atasnya yang didakwanya sengaja menimbulkan kontroversi.

“Kontroversi itu orang kata saja? Seminggu dua ini akan ada lagi serangan, saya akan jawab apa yang saya boleh… kalau tak boleh jawab saya serah kepada Allah.

“Kalau ada asas kita jawab,” katanya.

Beliau juga yakin PN akan menang dua DUN bawah Parlimen Sik iaitu Jeneri dan Belantik.

“Saya harap penyokong yang telah memberi undi kepada PN dalam PRU-15 peringkat Parlimen akan kekal. Kalau ikut undi Parlimen dulu, Jeneri PN menang 10,000 majoriti…saya harap angka itu kekal,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *