PRN: 49 Penyewa Rumah Sementara MPAJ Bakal Terima Hak Milik Kekal

Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail ketika mengumumkan penyerahan rumah dan Sesi Taklimat Penyerahan Surat Niat Penjualan Perumahan Sementara Desa Lembah Permai Ampang bersama MPAJ dan penduduk yang menyewa yang diadakan di Dewan Pinggiran Jaya, Ampang pada Ahad. Foto Fatin
AMPANG, 5 Jul – Seramai 49 penduduk yang menyewa Rumah Penempatan Sementara (PS) Desa Lembah Permai sejak 2008 di sini pasti gembira apabila Kerajaan Selangor bersetuju untuk menyerahkan hakmilik kekal kepada mereka.
Lebih menarik, EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata rumah millik Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu turut ditawarkan kepada mereka dengan harga asal yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

Kedua-duanya merupakan inisiatif untuk membantu rakyat dalam golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri dan Kerajaan Negeri turut bersetuju mengekalkan harga asal rumah yang berkeluasan 650 kaki persegi itu pada harga asal iaitu RM42,000 seunit berbanding harga pasaran kini pada RM160,000.
“Usaha melibatkan perbincangan MPAJ dan penduduk itu juga membantu meringankan beban penduduk daripada berpindah-randah.
“Kita Kerajaan Negeri Selangor, bersetuju untuk menukarkan rumah (PS) itu kepada pemilikan lain. Jadi, (penduduk) tak payah pindah. Ada yang dah duduk di situ lama sejak 2008.
“MPAJ juga bertolak ansur, menerima bahawa tak perlu ambil semula rumah yang diduduk selama ini.
“Saya nak pastikan orang Selangor ada rumah sendiri, jangan jual,” kata Rodziah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata demikian pada Sesi Taklimat dan Penyerahan Surat Niat Penjualan PS Desa Lembah Permai Ampang bersama MPAJ dan penduduk yang menyewa yang diadakan di Dewan Pinggiran Jaya, di sini, semalam.
Rodziah turut menyampaikan Surat Niat Penjualan PS Milik MPAJ kepada 49 penyewa rumah berkenaan pada majlis sama.
Mengulas lanjut, beliau yang juga ADUN Batu Tiga berkata, baki tunggakan unit perumahan itu bagaimanapun perlu diselesaikan secara telus dan bertanggungjawab oleh pemilik baharu menerusi beberapa kaedah yang dimaklumkan oleh MPAJ.
Katanya, mereka diberi masa selama tiga minggu untuk menerima atau menolak tawaran ini dan jika bersetuju serta tiada halangan dokumentasi bagi proses seterusnya, urusan pemilikan rumah itu dijangka selesai awal tahun hadapan.
Ini merupakan satu lagi kejayaan buat beliau menyelesaikan isu perumahan kepada golongan sasar dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.
