PMQT: Projek Tebatan Banjir Ikut Jadual Termasuk Yang Ditender Semula – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha keras memastikan projek tebatan banjir di seluruh negara dilaksanakan mengikut peraturan dan tatakelola termasuk yang ditender semula. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 3 Dis – Projek tebatan banjir yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk di Pantai Timur mengikut jadual, walaupun ada antaranya dibatalkan pada 2022 sebelum ditender semula, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, keputusan membatalkan beberapa projek dibuat ketika itu kerana Kerajaan MADANI menolak amalan rundingan terus yang disifatkan beliau mempunyai asas yang cukup lemah.
“Setakat ini, melainkan satu di Terengganu, jika tidak salah saya, (projek) yang lain memang masih ikut jadual. Ia tidak (mengganggu).

“Adakah ada bukti ada upaya menyelamatkan dana? Ya, kita ada rekod bahawa dalam rundingan terus dengan proses tender, memang kita selamatkan dana besar daripada yang diperuntukkan sebelumnya.
“Jadi, saya nak bagi jaminan, janganlah ini akan menyebabkan kelambatan tapi proses penilaian teknikal oleh kementerian dan penilaian kewangan oleh Kementerian Kewangan itu harus dipatuhi,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai sama ada terdapat bukti penyelewengan dalam proses tender projek tebatan banjir yang dibatalkan sebelum ini dan apakah keputusan membatalkan tender serta tender semula projek itu menjejaskan garis masa persediaan untuk menangani banjir besar.
Terkini, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada kira-kira 90,000 orang di lapan negeri dengan Kelantan masih merekodkan jumlah tertinggi kira-kira 55,000 mangsa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

