PM Anwar Tiba Di Abu Dhabi Mulakan Lawatan Kerja Ke UAE

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut Menteri Negara UAE Ahmed Ali Al Sayegh dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed, Abu Dhabi jam 9 malam waktu tempatan pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim
ABU DHABI, 12 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Abu Dhabi bagi memulakan lawatannya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum sebelum ke United Kingdom (UK) dan Belgium sebelum kemuncaknya di Davos, Switzerland untuk Mesyuarat Tahunan World Economic Forum (WEF) 2025.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed di sini sekitar jam 9 malam waktu tempatan (1 pagi Isnin waktu Malaysia).
Sebaik tiba, Anwar disambut oleh Menteri Negara UAE Ahmed Ali Al Sayegh, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Duta Malaysia ke UAE Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin dan pegawai kedutaan.
Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan pegawai kanan kerajaan.
Terdahulu Tengku Datuk Sirajuzzaman berkata, Perdana Menteri akan menyertai kira-kira 12 ketua negara asing dan ia merupakan peluang keemasan bagi Malaysia menguar-uarkan kepengerusian ASEAN kepada khalayak lebih ramai.
“Ini forum pertama Perdana Menteri boleh uar-uarkan kepengerusian ASEAN kepada khalayak lebih luas. Ada 12 ketua negara akan sertai ADSW,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Menurutnya, antara ketua negara asing yang akan hadir ke ADSW adalah dari Azerbaijan, Kazakhstan, Kenya, Nigeria, Rwanda, Kepulauan Seychelles, Uganda, Uzbekistan, Albania, Finland, Itali dan New Zealand.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
