PM Anwar, Pemimpin Parti Sertai Perarakan Perpaduan Gombak

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ribuan penyokong Kerajaan Perpaduan berarak ke pusat penamaan calon di Sungai Pusu Gombak Selangor. Foto Khairool
KUALA LUMPUR, 29 Jul – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai Perarakan Perpaduan Gombak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor untuk memberi sokongan kepada tiga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen itu iaitu Sungai Tua, Hulu Kelang dan Gombak Setia.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tiba pukul 8.50 pagi, dilihat berarak seiringan bersama tiga calon DUN iaitu bagi Sungai Tua Datuk Seri Amiruddin Shari (PH); Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli (PH) dan Gombak Setia Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN).

Perarakan yang bermula dari Jambatan Sungai Chinchin hingga ke pusat penamaan calon Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, di sini turut sertai barisan pimpinan tertinggi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Perarakan mengiringi tiga calon mewakili PH dan Barisan Nasional (BN) itu turut disertai Presidenm Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Dihiasi panji logo PH dan BN, pemimpin-pemimpin bersama penyokong parti berjalan sambil melaungkan slogan “Kerajaan Perpaduan” yang bergema sepanjang kira-kira satu kilometer perjalanan yang memakan masa kira-kira 20 minit itu.
