PM Anwar Lakukan Lawatan Kerja Ke Belgium Esok

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja selama dua hari ke Belgium pada 19 dan 20 Januari 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 18 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja selama dua hari ke Belgium pada 19 dan 20 Januari 2025 selepas selesai lawatan kerja lima hari ke United Kingdom (UK) yang dijadual dari 14 hingga 19 Januari.
Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke negara itu sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada November 2022 bagi mengukuhkan hubungan Malaysia dengan Belgium dan Kesatuan Eropah (EU).
Kementerian Luar Negeri berkata, Perdana Menteri akan diiringi Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi; dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi.

Semasa lawatan, beliau akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Alexander De Croo, Perdana Menteri Kerajaan Sementara Belgium bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Belgium, usaha untuk memperkukuh kerjasama serta bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Anwar juga dijadual bertemu Antonio Costa, Presiden Majlis Eropah bagi membincangkan usaha memperkasa hubungan Malaysia-EU serta kerjasama serantau.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri akan mengetengahkan keutamaan Malaysia dan aspirasi global ASEAN dalam menangani cabaran antarabangsa, serta meneroka ruang untuk mempererat lagi hubungan dialog ASEAN-EU.

Anwar juga akan menekankan usaha memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dalam kerangka yang inklusif, mampan dan berorientasikan masa depan.
Beliau dijadual menyampaikan ucapan khas bertajuk “Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience” di College of Europe, Brussels.
Menurut Wisma Putra, dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan EU, termasuk Belgium, mencatat nilai sebanyak RM200 bilion (AS$43.71 bilion).
Sehingga kini, sebanyak 1,345 projek pembuatan melibatkan EU telah dilaksanakan di Malaysia, dengan jumlah pelaburan berjumlah RM239.90 bilion (AS$59.80 bilion), yang telah mewujudkan 155,933 peluang pekerjaan.
Pada 20 Januari, Perdana Menteri akan berangkat ke Switzerland untuk menghadiri World Economic Forum (WEF) 2025 di Davos.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
