PM Anwar Hulur Sumbangan Kepada Anak Tan Sri P. Ramlee

Setiausaha Politik Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi mewakili Perdana Menteri mengadakan kunjungan dan menyampaikan sumbangan kepada anak sulung Allhahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sazali (kiri) yang kini dikategorikan sebagai OKU di Kuala Lumpur hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghulurkan sumbangan kepada anak seniman agung negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sazali yang terlibat dengan kemalangan sehingga dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).

Menerusi catatan di Facebook, penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi petang tadi.

“Baru-baru ini timbul laporan yang memberitakan penderitaan yang merundung saudara Sazali yang merupakan anak kepada seniman agung negara, Almarhum P. Ramlee.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi mewakili Perdana Menteri mengadakan kunjungan dan menyampaikan sumbangan kepada anak sulung Allhahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sazali (kiri) yang kini dikategorikan sebagai OKU di Kuala Lumpur hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Malang buat beliau tatkala terlibat dengan kemalangan sehingga jatuh dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dan tidak lagi punya kekuatan untuk bekerja dan mencari rezeki. Kini isterinya memerlukan perhatian dan rawatan segera dari doktor akibat masalah tulang belakang dan saraf di leher,” katanya.

Anwar dalam pada itu berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan beban yang ditanggung Sazali dan isteri.

“Saya mendoakan urusan rawatan dipermudah serta lekas diberi kesembuhan oleh Allah SWT, insya-Allah,” katanya.

Sazali, 64, kini berada dalam keadaan kurang sihat selepas ditimpa kemalangan pada Disember tahun 2021, menurut laporan akhbar tempatan.

Beliau yang kini dikategorikan sebagai OKU tidak dapat bekerja dan bergantung sepenuhnya dengan bantuan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kesemuanya berjumlah RM750.

“Kalau ikutkan, ia tidaklah mencukupi,” kongsi Sazali jujur ketika ditemui.

“Dalam keadaan sekarang, harga barangan keperluan dapur pun tinggi, ditambah bayaran elektrik dan air, apa yang diharapkan semoga dapatlah jumlah bantuan itu dinaikkan pihak terbabit.”

Sazali berkata beliau dan isteri, Hamidah Hitam, 61, masing-masing ada penyakit. Pasangan itu juga tidak dikurniakan cahaya mata selama lebih tiga dekad berkahwin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *