PL: Ledakan Jesus Benam Palace

Bukayo Saka terpaksa dikeluarkan pada minit ke-24 akibat kecederaan. Foto Premier League

LONDON, 22 Dis – Pemain Arsenal, Gabriel Jesus sekali lagi membuktikan dirinya sebagai ‘musuh utama’ Crystal Palace apabila penyerang Brazil itu meledak dua gol bagi membantu pasukan meraih kemenangan 5-1 di Selhurst Park, malam tadi.

Kemenangan itu meletakkan pasukannya kini hanya tiga mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (PL) Liverpool.

Jesus yang meledak hatrik bagi membantu Arsenal menewaskan Palace 3-2 pada saingan suku akhir Piala Liga, Rabu lalu, sebelum itu hanya meledak satu gol dalam 33 penampilannya bersama skuad kendalian Mikel Arteta.

Jesus menjaringkan gol pertama Arsenal ketika menentang Crystal Palace. Foto Reuters

Dia menjadikan Palace sebagai ‘lubuk’ apabila meledak dua gol dalam tempoh 15 minit pertama perlawanan dan hampir meledak satu lagi hatrik sebelum rehat masa pertama namun percubaan tersasar sebelum jaringan Kai Havertz meletakkan pasukan berada di kedudukan selesa, 3-1.

Jesus sekali lagi menjadi nadi kepada pasukan apabila membantu rakan senegaranya, Gabriel Martinelli meledak gol pada minit ke-60 sebelum Declan Rice menjaringkan gol pertamanya dalam saingan liga musim ini.

Arsenal kembali berada di atas Nottingham Forest di kedudukan ketiga dengan 33 mata daripada 17 perlawanan. Liverpool berada di puncak liga dengan 36 mata daripada 15 perlawanan manakala Chelsea yang dijadual bertemu Everton, malam ini sudah mengumpul 34 mata daripada 16 perlawanan.

Palace dalam pada itu di kedudukan ke-15, empat mata di atas zon penyingkiran.

Arsenal hanya meraih tiga kemenangan dalam sembilan perlawanan liga disertai sebelum ini, empat keputusan seri yang meletakkan mereka tercicir dengan pendahulu liga.

Namun mereka kini seakan memberi isyarat kebangkitan terhadap pasukan seteru utama yang lain.

“Ia sentiasa sangat sukar untuk berada di sini,” kata Arteta yang meraikan tempoh lima tahun pengendaliannya di Arsenal, Jumaat lalu. “Kami memulakan perlawanan dengan sangat baik dan kemudian kami sedikit ragu.

“Namun kami menunjukkan penguasaan, sangat klinikal dan untuk meledak lima gol di laman lawan dalam saingan Liga Perdana, kami sudah melakukan dengan banyak tahun ini dan ia sesuatu yang luar biasa.”

Arsenal selepas ini dijadual bertemu pasukan yang sedang bergelut Ipswich pada 28 Disember sebelum berkunjung ke laman Brentford pada 2 Januari.

“Kami sudah melakukan tugas dengan sangat baik,” kata Arteta. “Sekarang, ia adalah berkaitan dengan (perlawanan) seterusnya. Krismas sentiasa lebih baik apabila kamu meraih kemenangan.” – REUTERS


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *