Persatuan Teksi Tesco Kelantan Rayu Campur Tangan PM Anwar Tangani Isu Pemandu E-Hailing

Ahli-ahli Persatuan Pemandu Dan Pemilik Teksi/Kereta Sewa Terminal Bas Tesco mengadakan demonstrasi membantah kewujudan pusat e-hailing dan merayu campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan masalah mereka.

KOTA BHARU, 29 Dis – Rintihan dan keluhan pemandu teksi biasa sekitar Kota Bharu sehingga kini belum mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya daripada agensi berkaitan menyebabkan rata-rata mereka semakin kehilangan punca pendapatan.

Justeru, Persatuan Pemandu Dan Pemilik Teksi/Kereta Sewa Terminal Bas Tesco (kini Lotus’s) Kelantan (PETEMBAK) berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat bertindak segera terhadap kewujudan terminal haram pengendali e-hailing yang menjejaskan punca pendapatan mereka.

Pengerusinya Azmi Mohd Zain berkata beliau mewakili lebih 30 pemandu teksi persatuan menyeru campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan menyelesaikan isu yang telah berlarutan lebih setahun lalu.

“Ahli-ahli persatuan sepakat merayu campur tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan pusat kerana beberapa tindakan penguatkuasaan yang dijalankan sebelum ini tidak membuahkan hasil malah mereka merampas penumpang yang ingin mendapatkan perkhidmatan kami tanpa memikirkan kesannya kepada pemandu teksi biasa.

Pengerusi PETEMBAK Azmi Mohd Zain (kiri) berkata beliau mewakili lebih 30 pemandu teksi persatuan menyeru campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan menyelesaikan isu yang telah berlarutan lebih setahun lalu sambil diperhatikan bersama Zinda Khalil Sastro Hassan (kanan).

“Hanya kepada Perdana Menterilah kami mengadu harap agar masalah ini dapat diatasi kerana kami difahamkan pihak pengendali e-hailing membuang pin sekitar 300 meter dari kawasan teksi yang selama ini menjadi penghalang mereka memasuki kawasan meraih penumpang,” jelasnya.

Beliau mewakili ahli-ahli persatuan menyatakan perkara itu kepada wakil KEADILAN Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan yang turun padang setelah mendapat maklumat kemerosotan pendapatan pemandu teksi di kawasan itu.

Pada pertemuan itu, kain rentang dengan tulisan ‘PMX BANTU KAMI, PEMANDU KERETA SEWA TESCO’ serta sepanduk dengan tulisan ‘PMX BANTU KAMI!!!’ dipamerkan bagi menarik perhatian orang ramai yang berkunjung ke kawasan itu baru-baru ini.

Azmi juga merayu kepada kerajaan agar dapat menubuhkan satu badan khas untuk mentransformasikan sektor berkenaan supaya lebih berdaya maju dan boleh memberi nilai tambah kepada perkhidmatan teksi menerusi persatuan.

Ini memandangkan ketika ini, tiada satu badan khusus yang memantau sektor perhidmatan kereta sewa dan teksi sekali gus menyebabkannya ‘kecundang’ ketika bersaing dengan perkhidmatan e-hailing.

“Perkidmatan teksi dan kereta sewa tidak ada badan yang sanggup mengepalai perkhidmatan kami menyebabkan ia semakin kurang mendapat permintaan selain pengguna sekarang mahukan perkhidmatan yang lebih mudah seiring dengan perkembangan teknologi,” katanya.

“Kami sanggup belajar menggunakan aplikasi khusus untuk pemandu teksi biasa seperti mana yang dilakukan pemandu e-hailing bagi memberi pilihan kepada pengguna untuk memilih dengan tawaran harga yang lebih berpatutan.

“Saya juga menyeru agar pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tegas dalam penguatkuasaan operasi teksi e-hailing dengan meletakkan pegawai atau anggota memantau sebarang tindakan tidak wajar yang dilakukan mereka demi melindungi hak dan kepentingan pemandu teksi dan persatuan,” jelasnya lagi.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *