Pas Sebar Naratif Palsu Penyasaran Subsidi Petrol RON95

Muhammad Kamil Abdul Munim tempelak Ahmad Fadhli tidak sebut usaha kerajaan henti 40% bahan api subsidi kepada T15 dan warga asing.

IPOH, 20 Okt – Dakwaan Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari berhubung cadangan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan dilihat cubaan sengaja mewujudkan naratif palsu bagi mengelirukan rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sebagai seorang pemimpin, Ahmad Fadhli seharusnya memahami dan meneliti cadangan itu secara menyeluruh sebelum mengeluarkan kenyataan bersifat ‘separuh masak’.

“Mengapa (Fadhli) tidak menyebut sekali subsidi penyasaran berkenaan lebih tertumpu kepada usaha untuk menghentikan penggunaan 40% bahan api bersubsidi oleh golongan T15 dan warga asing? Itulah ibu segala isi cadangan kerajaan.

“Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jaminan 85% rakyat terbanyak tidak akan terkesan dengan cadangan itu. Perkara ini tidak diceritakan, yang diceritakan ialah kisah ‘separuh masak’, iaitu kerajaan nak tarik subsidi,” katanya dalam kenyataan.

Pada Jumaat, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mendakwa jangkaan penarikan subsidi RON95 ‘dilaksanakan’ selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Mahkota 28 September ‘menjadi kenyataan’.

Muhammad Kamil berkata, sehingga kini pembangkang bukan sahaja gagal memberikan kritikan membina, sebaliknya kerap mewujudkan spekulasi jahat membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

“Kerajaan berdepan cabaran dan asakan berlandaskan fitnah dan kecaman kerana hasutan mereka membangkitkan emosi, sikap prasangka serta kebencian, dan bukannya menggunakan pertimbangan rasional,” katanya.

Ahmad Fadhli dihentam teruk di ruangan komen Facebook sendiri setelah sengaja mencipta naratif palsu tanpa menjelaskan maksud sebenar penyasaran subsidi RON95.

Dalam pada itu, katanya, rakyat tidak perlu bimbang kerana ketetapan dibuat kerajaan berhubung penyasaran subsidi itu bertujuan membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok kaya dan warga asing.

“Malah, kerajaan juga menegaskan penjimatan itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak, membiayai pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di negara ini,”
katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *