Kerajaan Usaha Tingkatkan Upah Pekerja Swasta Seiring Kenaikan Penjawat Awam – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada 4 Mac 2025. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 4 Mar – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sudah mengambil pendekatan perlu untuk meningkatkan kadar upah pekerja swasta seiring langkah menaikkan gaji penjawat awam menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Perdana Menteri menjelaskan, selain kenaikan gaji minimum RM1,700 yang dikuatkuasakan bermula 1 Februari lalu, dasar gaji progresif juga dilaksana bagi menyokong supaya syarikat swasta menaikkan kadar upah pekerjanya.
“Kita sedang mengambil langkah ini (naikkan gaji pekerja swasta) menerusi gaji minimum, gaji progresif, GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) juga sudah menetapkan (naikkan gaji mereka) serta syarikat swasta yang catat keuntungan besar juga diminta lebih adil kepada pekerja.

“Cuma dia (kerajaan) tidak ada kekuatan undang-undang memaksa syarikat swasta untuk menekankan (mengambil usaha menaikkan gaji pekerjanya),” katanya menjawab soalan tambahan Awang Hashim (PN-Pendang) pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah berjumpa dengan syarikat swasta termasuk dalam sektor perladangan supaya mengambil pendekatan sedemikian, bagi mengimbangi kesan inflasi ketika ini.
“Saya sendiri berjumpa dengan syarikat umpamanya perladangan yang mencatat keuntungan, (ingatkan supaya mereka) haruslah lebih adil dan jangan catatan keuntungan tinggi tapi gaji tidak setimpal.

“Ada kesenjangan di antara kenaikan produktiviti lebih tinggi daripada kenaikan gaji. Inflasi walaupun rendah, kalau gaji tak naik inflasi itu akan mengesankan.
“Semua syarikat kerajaan yang banyak (pekerja) ratusan ribu, seperti PETRONAS, TNB (Tenaga Nasional Berhad), Telekom (Malaysia), semua syarikat ini menetapkan gaji yang lebih tinggi dari kadar gaji minimum, mencecah lebih RM2,000,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Anwar menjelaskan peningkatan kadar upah itu juga mesti selari dengan peningkatan produktiviti dalam kalangan pekerja swasta.
“Langkah ini (naikkan produktiviti pekerja swasta) memaksa untuk kita juga lakukan ‘upskilling’ (peningkatan kemahiran) contohnya macam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sijil Kemahiran III itu (yang mana) gaji minimum RM3,000 biarpun lulusan TVET.
“Apa yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) adalah untuk memastikan peluang itu lebih dan ini termasuk anak-anak Maahad Tahfiz yang dibawa ke TVET yang kini gaji minimum RM2,000 dan kalau ditingkat kemahirannya, dia boleh cecah RM3,000,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
