Kerajaan Peruntuk RM35 Juta Rancak Ekosistem Wakaf Negara – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik pelancaran Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 bertemakan Wakaf Membangun Malaysia MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 27 Februari 2025. Foto Faisol Mustafa
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Bagi merancakkan ekosistem dan kesedaran wakaf, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyaluran dana sebanyak RM35 juta khusus bagi tujuan itu.
Daripada jumlah itu sebanyak RM30 juta disalurkan untuk menyokong program myWaqafPTPTN dan RM5 juta untuk pembentukan Permodalan Wakaf Nasional Berhad (PWNB), kata Perdana Menteri.
“Jadi dana ini yang diluluskan setakat ini untuk sokongan ekonomi wakaf di Malaysia. RM30 juta untuk program myWaqaf PTPTN. Yang ini, biasiswa wakaf pendidikan yang diuruskan oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Malaysia (PTPTN).
“Kedua, untuk modal awal pembentukan entiti Permodalan Wakaf Nasional Berhad. Ini RM5 juta,” katanya ketika melancarkan sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 bertemakan Wakaf Membangun Malaysia MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pagi tadi.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee; Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Dr Ridzwan Bakar.
Ini bertitik tolak daripada suasana serba canggih dan mencabar pada masa kini, Perdana Menteri menyedari bahawa wujud ikhtiar baharu dalam membangunkan ekosistem wakaf negara seiring dengan situasi semasa.
Ini juga mencetus inovasi menggalakkan ekosistem wakaf dalam suasana transformasi selain dana tambahan dari kerajaan dan syarikat kerajaan serta swasta dengan penyertaan pelbagai pihak yang cakna terhadap kepentingan berwakaf.
“Sekarang tentulah keadaan yang lebih mencabar dan institusi lebih canggih. Kita lihat beberapa ikhtiar wakaf dan kegiatan wakaf negeri yang berusaha meningkatkan aktiviti mereka dalam pelbagai lapangan.
“Ia mendapat sambutan, apalagi dengan dana tambahan dari kerajaan, syarikat kerajaan dan swasta.
“Jadi dalam Global Forum on Islamic Economy dan Finance anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mei (tahun) lalu, kita telah melihat bagaimana apa yang disebut program atau prakarsa social exchange (pertukaran sosial)
“Saya ucap terima kasih kepada Yayasan Waqaf Malaysia yang menyambut dengan lebih segera dan positif.
“Jadi dalam masa tujuh bulan, Waqaf Exchange Trade Fund telah diapung di Bursa Malaysia. Jadi ia produk yang dianggap inovatif pertama di dunia.
“Ia menggabungkan Yayasan Waqaf Malaysia dengan dana yang dapat menyalurkan 50 peratus pendapatan pelaburan sebagai wakaf manakala 50 peratus lain sebagai dividen. Ini satu pendekatan yang canggih,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

