Kenaikan Kadar Dividen ASB Ceriakan Jutaan Pemegang Saham Bumiputera

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda (kanan), berkata pihaknya berbesar hati kerana ASB mampu memberikan agihan dividennya yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun selari dengan pertumbuhan ekonomi dijana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Sejak ramalan kenaikan kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) pada 9 Disember lalu mula tular, rata-rata pemegang saham mula berkira-kira untuk menambah pegangan disebabkan manfaat yang diperolehi lebih baik setiap tahun.

Bagi seorang pemegang akaun ASB, Norhayati Roslan menyifatkan pengumuman Permodalan Nasional Berhad (PNB) baru-baru ini amat bersyukur dengan kenaikan tersebut malah akan menambah tabungan apabila kenaikan gaji kakitangan awam mula diterima 19 Disember lalu.

“Alhamdulilah dengan pengumuman ASB ini saya berazam akan menambah pelaburan kerana saham ini menjadi simpanan tambahan sekiranya berlaku kes kecemasan melibatkan ahli keluarga.

“Dan saya juga mengharapkan agar kerajaan dapat terus menarik pelaburan asing seterusnya menaikkan kadar dividen ASB yang banyak dipengaruhi pasaran saham tempatan bagi tahun-tahun mendatang,” katanya.

Untuk rekod, pembayaran tahun ini yang tertinggi dalam tempoh lima tahun didorong oleh tiga faktor antaranya prestasi saham domestik yang positif.

Menurut Pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad, faktor tambahan termasuk perkembangan dalam pengukuhan nilai ringgit dan pelaksanaan strategi pelaburan yang berkesan oleh pengurus dana ASB.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.50 sen seunit dengan bonus sebanyak 0.25 sen seunit.

“Kita juga lihat ada peningkatan nilai ringgit berbanding dolar dan transaksi. Jadi sudah pasti akan memberi pulangan baik terutamanya kepada pelaburan asing dan ASB.

“Dari segi strategi pula, ia termasuk keputusan pelaburan berkesan dalam pelbagai sektor dan prestasi cemerlang yang dilaksanakan oleh barisan pengurusan dana ASB,” katanya pada Selasa.

ASB terus memberikan pulangan yang mampan, mengatasi pulangan pasaran serta penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank.

Bilangan akaun ASB meningkat 2.4 peratus kepada 11.1 juta akaun, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.

Syarikat pengurusan unit amanah milik PNB, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pada Selasa mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Menurut kenyataan PNB, jumlah itu terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit dan bonus 25 sen seunit.

Sementara itu, ujar Azizul, peningkatan pulangan dividen berkenaan juga memberi kesan dari segi merancakkan ekonomi domestik di negara ini.

Menurutnya, ia berikutan dividen lebih tinggi memberikan pendapatan tambahan kepada pemegang unit ASB sekali gus mendorong kepada peningkatan dalam perbelanjaan harian pengguna.

Perbandingan agihan pendapatan ASB sejak 2014 hingga 2024.

Sudah pasti pemegang saham ceria menerima pulangan masing-masing dalam tempoh setahun lalu untuk dimanfaatkan bagi tujuan simpanan dan kecemasan selain kestabilan yang dimiliki ASB.

Maka sokongan berterusan pemegang saham amat diperlukan bagi memastikan kecairan pasaran dalam ASB diperkukuh selaras pertumbuhan ekonomi menerusi kerangka Ekonomi MADANI.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *