Jemaah Menteri Tak Setuju Lantik Menteri Agama Bukan Islam – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan cadangan memecahkan portfolio menteri hal ehwal agama bagi mewujudkan suatu portfolio untuk hal ehwal bukan Islam. Foto Bernama

PUCHONG, 14 Feb – Cadangan memecahkan portfolio menteri hal ehwal agama bagi mewujudkan suatu portfolio untuk hal ehwal bukan Islam tidak dipersetujui oleh Jemaah Menteri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui di Dewan Rakyat tempoh hari ‘suara peribadi’.

“Tidak dipersetujui oleh mana-mana dalam kerajaan, apa lagi dalam jemaah Menteri,” katanya kepada pemberita di Masjid As-Salam, Puchong, seusai solat Jumaat di sini.

Cadangan memecahkan portfolio menteri di Jabatan Perdana Menteri ini menyusuli kontroversi cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam.

Chow mengajukan saranan itu di Dewan Rakyat pada Rabu, ketika membahaskan titah diraja.

Menyeru kerajaan persekutuan mencontohi beberapa kerajaan negeri yang mempunyai exco hal ehwal bukan Islam, beliau percaya menteri hal ehwal agama Islam dan bukan Islam akan dapat berkomunikasi secara mendalam bagi mengelakkan sebarang kontroversi, selain memastikan pengurusan agama yang adil.

Cadangan tersebut bagaimanapun dikritik oleh pemimpin-pemimpin daripada Umno, Amanah dan KEADILAN yang merupakan parti pemerintah.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *