Isu Subsidi Bersasar RON95 Topik ‘Panas’ Yang Akan Dibincang Di Dewan Rakyat

Mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 diharap tidak membebankan rakyat selain diharap memberi keadilan kepada rakyat apabila dilaksanakan kelak. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Subsidi bersasar bagi petroleum RON95 serta pelaksanaan cukai dividen dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 untuk pemegang saham individu antara yang akan dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) di laman rasmi Parlimen, persoalan itu dibangkitkan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sejurus Dewan Rakyat bersidang pada 10 pagi.
Pada sesi sama, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta Perdana Menteri menyatakan langkah penyelesaian kerajaan dalam kes Duta Enclave di Mukim Batu susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pemulangan semula 106.54 hektar tanah di Jalan Duta, Kuala Lumpur oleh kerajaan Persekutuan kepada Semantan Estate Sdn Bhd.
Turut menarik perhatian soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) berhubung rancangan kerajaan menaik taraf dan menyelenggara utiliti bawah tanah di ibu negara dan bagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat mengutamakan keselamatan serta kecekapan dalam projek penyelenggaraan bawah tanah pada sesi soal jawab lisan.
Usai sesi itu, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 selepas ia dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan pada 18 Oktober lalu.
Setakat ini, 105 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan, pembangkang dan Bebas telah mengambil bahagian pada sesi perbahasan rang undang-undang itu.
Dewan Rakyat tidak akan bersidang pada Rabu dan Khamis ini berikutan sambutan Deepavali.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
