Isu Jalur Gemilang Ekspo Mid Valley: Ketua AMK Lembah Pantai Lapor Polis, Gesa KDN Bertindak

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Lembah Pantai, Noor Amelia Zainabila Zaiffri mewakill Gabungan Kerajaan Perpaduan Lembah Pantai membuat laporan polis berkenaan dengan melaporkan kesalahan pihak penganjur ekspo memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.
KUALA LUMPUR, 20 Apr – Belum pun reda dengan isu Jalur Gemilang tidak lengkap di beberapa akhbar berbahasa Cina, satu lagi insiden hampir serupa mengundang kecaman orang ramai melibatkan sebuah reruai di TCE Baby Expo yang berlangsung di Dewan Ekspo, Tingkat 3, Mid Valley Megamall di sini bermula Khamis lalu.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Lembah Pantai, Noor Amelia Zainabila Zaiffri, beliau mewakill Gabungan Kerajaan Perpaduan Lembah Pantai membuat laporan polis berkenaan dengan melaporkan kesalahan pihak penganjur ekspo memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.
Laporan berkenaan dibuat sendiri Noor Amelia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfleids susulan menerima kiriman menerusi aplikasi WhatsApp ketika menghadiri Program Sambutan Hari Raya di sebuah apartmen di Taman Pasir Permata Jalan Klang Lama, di sini pada Sabtu.

“Saya telah menerima kandungan dari platfom aplikasi WhatsApp dan telah melihat satu dekorasi imej di pentas utama Pameran Bayi MidValley dianjurkan oleh syarikat yang tidak dikenali, memaparkan Bendera Malaysia tanpa bulan sabit di dewan pameran Tingkat 3 Midvaley Megamall.
“Tindakan ini jelas melanggar peruntukan di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta 414, yang melarang penggunaan atau paparan lambang yang ditetapkan tanpa kebenaran bertulis daripada Menteri.
“Selain itu, tindakan ini juga melanggar Seksyen 3 Akta 193, yang mengawal paparan lambang kebangsaan,” menurut laporan polis yang dibuat Noor Amelia.
Beliau menambah, tindakan ini juga adalah bertentangan dengan peruntukan di bawah Akta 414, Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta 193, Akta Kawalan Paparan Lambang Kebangsaan 1949.
Sehubungan itu beliau meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kejadian ini dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat menurut lunas undang-undang menggunakan dua akta yang berkaitan dengan insiden terbabit.
Ini kerana laporan berkenaan dibuat berdasarkan pemaparan Jalur Gemilang di tempat awam serta di bawah bidang kuasa KDN dan akta berkaitan walaupun insiden tersebut tular di media sosial dan bukan di bawah bidang Kementerian Komunikasi atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Laporan media sebelum ini menyebut bentuk latar pentas di reruai Singapore Lactation Bakes itu hanya memaparkan 14 jalur dan bintang pecah 14 tanpa kehadiran bulan sabit — satu elemen penting dalam Jalur Gemilang yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Pameran tersebut sedang berlangsung dari Khamis hingga hari ini dan foto paparan bendera tidak lengkap berkenaan telah tular di media sosial mencetuskan kemarahan warganet kerana pihak penganjur tidak peka dengan sensitiviti rakyat Malaysia.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
