Hamas Akan Bebaskan Tawanan Seperti Yang Dipersetujui

Orang awam berjalan di al-Mughraqa di tengah Semenanjung Gaza, ketika penduduk yang dipindahkan bergerak ke bahagian utara Gaza semasa perjanjian gencatan senjata dalam perang antara Israel dan Hamas. Foto AFP
ANKARA, 13 Feb – Kumpulan Pejuang Palestin Hamas berkata pada Khamis bahawa ia sedia untuk menyambung semula pembebasan tawanan seterusnya pada Sabtu jika Israel mematuhi syarat perjanjian gencatan senjata Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
“Israel melanggar perjanjian itu berkali-kali, sama ada dengan menghalang kepulangan orang yang dipindahkan atau menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan.
“Jika Israel tidak mematuhi syarat perjanjian, proses pertukaran tawanan tidak akan berlaku,” kata jurucakap Hamas Abdul Latif al-Qanoua.
Hamas berkata ia akan membebaskan tawanan Israel seperti yang dirancang di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata langkah itu diambil selepas perbincangan dengan pengantara Mesir dan Qatar, yang berjanji untuk berusaha ‘menghapuskan halangan dan merapatkan jurang’.
Tambah Abdul Latif, Hamas akan terus melaksanakan perjanjian Gaza ‘sesuai dengan perjanjian yang ditandatangani, termasuk pertukaran tawanan mengikut jadual yang ditetapkan’.
Kumpulan Palestin itu berkata pada Isnin yang ia akan menangguhkan pembebasan tebusan seterusnya sebagai tindak balas kepada pelanggaran Israel terhadap perjanjian gencatan senjata.
Pihak berkuasa Palestin menyenaraikan beberapa siri pelanggaran Israel terhadap perjanjian itu, termasuk menembak orang awam dan menyekat akses kepada barangan bantuan, seperti khemah dan karavan, bagi orang awam yang dipindahkan di Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada hari berikutnya mengugut untuk menamatkan perjanjian gencatan senjata Gaza jika Hamas gagal membebaskan tawanan menjelang tengah hari Sabtu.
Abdul Latif berkata terdapat ‘tanda-tanda positif’ mengenai komitmen Israel terhadap perjanjian gencatan senjata.
“Hamas komited dengan apa yang dicapai, tetapi tidak akan menerima sebarang pelanggaran Israel yang mungkin mengganggu proses pertukaran,” katanya.
Hamas berkata delegasi, yang diketuai oleh pemimpinnya di Gaza, Khalil al-Hayya mengadakan perbincangan dengan pengantara Mesir dan Qatar untuk membincangkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

