Dulu Lawan, Sekarang Kawan!

PENDAPAT, 23 Apr – Dalam politik semua boleh jadi. Untuk naik dalam politik kadang-kadang prinsip terpaksa diketepikan.
Siapa tidak kenal Tian Chua. Penyokong dan pendokong kuat Azmin dan Zuraida. Kelompok yang terkenal dengan gelaran ‘kartel’.
Semasa Azmin dan Zuraida bermaharajalela melawan dan memperlekeh Presiden, DSAI dan Mantan Presiden, DSWA, Tian Chua tidak terkecuali malah terang-terangan menyokong dan mendokong tindakan mereka berdua.
Saifuddin salah seorang yang tidak senang dengan gelagat Azmin, Zuraida dan Tian Chua serta kelompok kartel suatu ketika dahulu.
Malah Saifuddin menyebelahi Rafizi di dalam pertembungan Azmin-Rafizi.
Maka betul pendapat yang mengatakan, dalam politik “kawan tidak akan kekal selamanya sebagai kawan” dan “lawan tidak kekal selamanya sebagai lawan”.
Teori “matlamat menghalal cara” dokongan Marchiavelli rupanya ada kebenarannya dan berlaku di depan mata.
Maksudnya ialah seseorang itu akan sanggup mengetepikan prinsip dirinya demi mencapai cita-cita peribadinya.
Sanggup mengorbankan ciri-ciri kebaikan yang dipegangnya selama ini bagi mencapai hasrat.
Dalam hal ini Saifuddin nampaknya tidak terkecuali. Jika dilihat sejarah pertembungan di antara Saifuddin dengan kelompok kartel, pastinya ramai akan mengakui sukar untuk percaya jika beliau telah bertukar 360°.
Ramai berpendapat bahawa dia sepatutnya tidak bersekongkol dengan Tian Chua dalam kempen pemilihan parti sekarang ini kerana akan memberi isyarat dia seolah-olah bersama kartel.
Tidak salah untuk berbaik dengan sesiapa pun, tetapi tiada rekod menunjukkan Tian Chua pernah memohon maaf secara terbuka kepada anggota parti di atas “dosa-dosa” menjadi pendokong kuat Azmin/Zuraida yang telah membawa kerosakan kepada parti.
Walaupun Saifuddin mungkin boleh memberi pelbagai alasan untuk berbaik dengan Kartel, namun apa jaminan kalau dia menang, watak-watak yang pernah membawa kerosakan kepada parti ini tidak diberikan tempat sekali lagi?
Sementelahan pula Tian Chua, yang sangat dibenci dalam parti khabarnya diangkat selaku Pengurus Kempen beliau.
Jika benar, apakah Saifuddin dalam keadaan terdesak untuk memenangi pemilihan kali ini sehingga sanggup bekerjasama dengan kartel sampai tahap ini?
Kemungkinan besar tulisan dan pandangan saya ini akan menerima sanggahan dari penyokong upahan Saifuddin. Maklumlah ada upahnya. Hujah yang mungkin diberikan ialah tidak salah jika Tian Chua yang mahu menyokong Saifuddin.
Tidak salah Tian Chua datang hadir program Saifuddin. Bukan Saifuddin yang mencari Tian Chua tetapi sebaliknya Tian Chua yang mencari Saifuddin. Tian Chua juga anggota parti yang sah.
Saya tidak hirau kepada tulisan-tulisan berbaur picisan.
Apa yang penting ialah supaya semua anggota parti tahu bahawa parti ini rosak akibat perbuatan kartel.
Oleh itu bersekongkol dengan kartel demi menggapai cita-cita adalah satu perbuatan yang membenarkan teori Marchiavelli, “matlamat menghalal cara”.
AYUH MALAYSIA
Yakini Rakyat
AYUH ANGGOTA KEADILAN
Bersama kita perbaiki parti ini.
Sila klik
www.ayuhmalaysia.org
Video sekadar hiasan.
