Detik Cemas Dua Warga China Disamun Sebelum Dilarikan

Suspek yang menaiki kereta jenis BMW telah menarik kedua-dua mangsa masuk ke dalam kenderaan dan berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.
BENTONG, 3 Jan – Pekan Gohtong Jaya gempar dengan insiden dua pelancong warga China dilarikan dan disamun ketika sedang berjalan di sekitar kawasan itu dan melalui detik mencemaskan pada Isnin lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa yang merupakan lelaki berusia 26 tahun dan wanita berusia 27 tahun didatangi empat suspek ketika berjalan kaki.
“Suspek yang menaiki kereta jenis BMW telah menarik kedua-dua mangsa masuk ke dalam kenderaan dan berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.
“Mangsa wanita telah berjaya keluar daripada kenderaan tersebut dan melarikan diri manakala mangsa lelaki telah dilarikan suspek,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya mangsa lelaki kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan setelah suspek mengambil sejumlah wang dan melakukan pindahan wang akaun milik suspek.
Menurutnya kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan ringan dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 365/394 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungu bilik gerakan Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Benting di talian 09-2222222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
