Cuaca Lembab, Potensi Banjir Melanda Negeri Di Semenanjung

Anggota Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18RAMD) (Para) Kem Sri Pantai, Kuala Nerus melakukan tinjauan rumah yang ditenggelami banjir menerusi Ops Murni di Kampung Tengkawang, Terengganu pada 28 November lalu.

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca lembab yang berterusan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak sehingga petang ini.

Menurut MetMalaysia, keadaan cuaca hujan lebat kini berlaku di bahagian timur Semenanjung, terutamanya di negeri Pahang dan Johor.

“Hujan ini turut menyebabkan limpahan hujan yang memasuki bahagian barat Semenanjung, melibatkan negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, serta barat Johor yang mengalami cuaca lembab dan mendung,” katanya.

MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Terengganu dan Pahang bermula hari ini. Foto MetMalaysia

Di utara Semenanjung Malaysia, keadaan mendung dilaporkan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan sebahagian besar negeri Perak, dengan hujan yang reda ketika ini.

Manakala di Kelantan pula, hujan masih berlaku di pesisir pantai berikutan adanya kelompok awan hujan yang memasuki kawasan negeri itu.

MetMalaysia meramalkan bahawa keadaan cuaca lembab ini dijangka berterusan sehingga ke awal petang, dengan kawasan pedalaman serta bahagian utara dan pantai barat Semenanjung Malaysia turut terlibat. Keadaan hujan di kawasan timur dijangka masih berterusan sehingga petang.

Bagi negeri Sabah dan Sarawak, cuaca yang agak mendung dan kurang hujan kini berlaku di kebanyakan kawasan. Hujan dijangka berlaku di beberapa tempat di bahagian Kapit, Sarawak, serta di Kudat, Sabah, namun cuaca dijangka akan beransur reda dalam masa terdekat.

“Di Sarawak, cuaca lembab akan tertumpu di bahagian selatan, tengah, dan pedalaman menjelang petang, manakala di Sabah, ia dijangka melibatkan kawasan Kudat, Pantai Barat, dan pedalaman pada sebelah petang,” tambahnya.

Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan banjir kilat, tanah runtuh, dan pokok tumbang berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *