Baru Mendarat 4 Jam, PM Anwar Pengerusikan Mesyuarat Mingguan Kabinet

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri tengah) mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri di Putrajaya pada 21 Februari 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 21 Feb – Baru mendarat kira-kira empat jam sahaja, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa berlengah terus mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di sini sejurus tiba dari lawatan tiga hari ke Bahrain.
Menerusi hantaran di akaun Facebook beliau sebentar tadi, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan tiba di negara ini kira-kira jam 5 pagi tadi dari lawatan ke Bahrain dan Brunei.
“Usai tiba dari Bahrain sekitar jam 5 pagi tadi, saya langsung mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri awal pagi tadi.

“Saya turut kongsikan hasil lawatan ke Bahrain dan juga Brunei yang tentunya membawa impak kepada pengukuhan dan peningkatan kerjasama dan sinergi baharu, Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, dalam satu hantaran lebih awal, Anwar memaklumkan kunjungan beliau ke Bahrain berjaya mencapai objektif dalam mengukuhkan hubungan serta kerjasama antara Malaysia dan negara itu.
“Penghargaan saya kepada Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Bin Hamad Al Khalifa atas undangan sebagai tamu negara.
“Di sela lawatan rasmi, saya turut diberi penghormatan sampaikan ucapan semasa Intra-Islamic Dialogue Conference (IIDC) yang dianjurkan di bawah naungan Raja Bahrain dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif merangkap Pengerusi Majlis Hukama’ Muslimin.
“Terima kasih juga buat pasukan kementerian, pihak kedutaan, petugas keselamatan dan rakan media yang melicinkan setiap urusan sepanjang berada di Manama. Insya-Allah kita ketemu lagi!,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
