Bagaimana Akta Pendanaan Politik Boleh Perkasa Sistem Demokrasi Di Malaysia?

Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia menjadi contoh terbaik dalam sistem pendanaan parti politik dengan penggubalan Akta Pendanaan Politik yang menjadi piawaian negara-negara anggota serantau bagi kini dan masa depan.

PENDAPAT, 9 Mac – Sudah mula diperkatakan di sana-sini berkenaan Akta Pendanaan Politik yang bakal mencorak satu lagi sistem reformasi dalam pentadbiran parti-parti politik yang menguasai negara.

Selain menjadi mekanisme terbaik mengawal sumber pendanaan parti-parti politik, ia sebenarnya mempunyai potensi untuk memperkukuh sistem demokrasi negara dalam jangka masa panjang.

Akta ini bertujuan untuk memastikan ketelusan dan keadilan dalam pembiayaan politik, mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan pengaruh dari pihak-pihak berkepentingan termasuk syarikat-syarikat swasta.

Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berkali-kali menguatkan komitmen dalam menggubal Akta Pendanaan Politik bagi memberi garis panduan pembiayaan terhadap parti politik di Malaysia. Foto Bernama

Dengan adanya peraturan yang jelas mengenai sumber dana politik, ia dapat mengurangkan amalan rasuah dan transaksi haram yang sering dikaitkan dengan pendanaan politik yang tidak telus, meragukan malah hingga ke peringkat salah guna kuasa dan penularan amalan rasuah.

Biarpun diperdebatkan sejak sekian lama, namun Akta Pendanaan Politik sebenarnya dapat meningkatkan integriti parti politik dengan memastikan bahawa semua pihak, tidak kira besar atau kecil memiliki sumber kewangan yang telus dan jelas.

Ini seterusnya memperkukuh proses demokrasi dengan memastikan setiap kali proses pilihan raya diadakan dengan lebih adil dan bebas apatah lagi Malaysia kini menjadi Pengerusi ASEAN 2025 sebagai contoh terbaik dalam sistem pendanaan parti politik dengan penggubalan akta berkenaan yang menjadi piawaian negara-negara anggota serantau bagi kini dan masa depan.

Kes melibatkan seorang bekas Perdana Menteri antara contoh bagaimana Akta Pendanaan Politik wajar digubal dan dijadikan undang-undang bagi mengawal pembiayaan terhadap parti-parti politik.

Jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 November tahun lalu berkenaan cadangan bagi merangka draf undang-undang itu kini masih diteliti di peringkat jawatankuasa yang dilantik.

“Akta Pendanaan Politik masih dikaji oleh jawatakuasa. Kalau mahu disegerakan, saya tiada halangan, bahkan dalam Jemaah Menteri, kita setuju dilaksanakan.

“Cuma biar ada parameter (pengenalan dan pelaksanaan) dibincangkan oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya menjawab soalan tambahan Awang Hashim (PN-Pendang) pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.

Iltizam kerajaan ketika mengumumkan merujuk cadangan penggubalan Akta Pendanaan Politik kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen wajar disambut baik semua pihak.

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut menjelaskan, akta berkenaan epatutnya dibentang bersama Akta Lompat Parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu supaya ia dapat dilaksanakan secara bersama.

Menerusi sistem pendanaan politik yang telus, rakyat dapat melihat bagaimana parti politik memperoleh dana dan bagaimana dana tersebut dibelanjakan sekali gus meningkatkan tahap kepercayaan mereka terhadap proses berpolitik dalam kalangan parti-parti politik.

Namun paling penting, secara jangka panjang, akta berkenaan dapat memupuk budaya politik kepartian yang lebih bertanggungjawab, mengurangkan pengaruh asing yang merosakkan dan meningkatkan integriti sistem politik di negara ini.

Ini akan membolehkan sistem demokrasi dijalankan dengan lebih stabil, cekap dan berdaya tahan termasuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti-parti politik yang menerajui tampuk pemerintahan negara.

Justeru semua parti-parti politik diharap dapat bekerjasama dalam pematuhan akta berkenaan kerana ia merupakan kunci kepada kelangsungan pentadbiran negara serta menjadikan Malaysia negara yang lebih dihormati dengan sistem demokrasi berparlimen penuh berintegriti.

– Mohammad Zarizi Jamil merupakan pemerhati politik semasa


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *