Warga Sabah Sambut Baik Perkhidmatan Penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP) Percuma

Warga Sabah Sambut Baik Perkhidmatan Penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP) Percuma

Para pesakit kini tidak perlu menunggu mendapatkan ubat-ubatan di klinik kesihatan apabila kos penghantaran ubat menerusi program Ubat Melalui Pos (UMP) ditanggung Kementerian Komunikasi menerusi MCMC bermula 1 Oktober 2026. Foto Klinik Kesihatan Telupid

KOTA KINABALU, 27 Sep – Rata-rata para penduduk di Sabah amat menyambut baik inisiatif penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP) secara percuma mulai 1 Oktober depan hasil koloborasi antara Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ini kerana, selama ini mereka yang berada jauh di pedalaman terpaksa menanggung kos tambahan serta cabaran laluan berbukit untuk mendapatkan ubat daripada kemudahan kesihatan kerajaan.

Bagi Mohd Fauzi Saman, 44, dari Batu Sapi, kawasan pedalaman yang luas memang menyukarkan penduduk luar bandar berulang-alik mendapatkan bekalan ubat secara bulanan termasuk penyakit kronik seperti darah tinggi.

“Jika kami mahu ambil ubat di Klinik Kesihatan terdekat pun mengambil masa kira-kira empat jam lebih pergi dan balik dengan kos pengangkutan hampir RM250 memang membebankan.

“Bila penduduk mendapat khabar bahawa bekalan ubat boleh dihantar secara percuma melalui pos selepas mendaftar, kos dan masa perjalanan boleh dijimatkan namun kita meminta hebahan termasuk di media sosial dapat diperluas,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menjelaskan, peruntukan kira-kira RM5 juta itu disediakan bagi melaksanakan inisiatif itu di seluruh negara yang dijangka memanfaatkan kira-kira 80,000 pesakit sebulan menerima ubat menerusi program ini tanpa sebarang caj, berbanding sebelum ini yang memerlukan pesakit membayar sendiri kos penghantaran.

Fahmi turut mendedahkan pihaknya sedang meneliti potensi penghantaran ubat menerusi penggunaan dron di kawasan tertentu, khususnya selepas peninjauan penggunaan teknologi tersebut di Sabah, merupakan satu pendekatan yang amat relevan memandangkan topografi berbukit dan taburan penduduk terpencil di negeri itu.

Langkah ini diselaraskan sebagai kesinambungan jelas agenda Kerajaan MADANI dalam menangani kos sara hidup, selari dengan inisiatif lain seperti BUDI95 dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sedia ada.

Bagi keluarga B40 di Sabah yang sering terpaksa mengorbankan pendapatan harian atau kos pengangkutan hanya untuk mengambil ubat, penghapusan caj pos ini secara langsung meringankan bebanan kewangan bulanan.

Namun, sesetengah pihak turut menyuarakan harapan agar pelaksanaan di Sabah benar-benar cekap dari segi logistik pos, memandangkan cabaran infrastruktur perhubungan luar bandar di negeri itu masih memerlukan penambahbaikan berterusan bagi memastikan janji perkhidmatan percuma ini benar-benar sampai tepat pada masanya kepada golongan sasar.

Para pesakit atau waris mereka boleh membuat pendaftaran secara dalam talian menerusi pautan https://myubat.pharmacy.gov.my/?lang=en atau memuat turun aplikasi MyUbat di Google Play Store, Apple App Store atau Huawei App Gallery.

Jalinan Kementerian Komunikasi-KKM Mampu Atasi Isu Penghantaran Ubat-Ubatan Ke Kawasan Pedalaman

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web