Wanita Selamat Lahirkan Bayi Dalam Bas Awam MADANI
Anggota kesihatan Klinik Kesihatan Jalan Masjid membantu seorang wanita yang melahirkan bayi di dalam bas awam MADANI, di Kuching, semalam. – Gambar Facebook Klinik Kesihatan Jalan Masjid, Kuching pada 23 September 2026. Foto Facebook KK Jalan Masjid Kuching
KUCHING, 24 Sep – Seorang wanita selamat melahirkan bayi di dalam sebuah bas awam MADANI di hadapan Klinik Kesihatan Jalan Masjid, di sini, petang Rabu.
Menurut hantaran Facebook Klinik Kesihatan Jalan Masjid Kuching Sarawak hari ini, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang apabila pemandu bas berkenaan memasuki kawasan tempat letak kenderaan di hadapan klinik.
Pemandu berkenaan kemudian bergegas memaklumkan kepada anggota kesihatan bahawa terdapat seorang wanita sarat mengandung yang hendak melahirkan anak.

Susulan itu, beberapa doktor dan jururawat bergegas ke dalam bas berkenaan bagi membantu wanita tersebut melahirkan bayinya.
Menurut hantaran itu, proses kelahiran berlangsung dalam keadaan tenang meskipun berada di dalam bas, dengan bayi berkenaan berjaya dilahirkan dengan selamat hasil bantuan anggota kesihatan klinik.
Suasana kemudiannya bertukar ceria apabila beberapa anggota Klinik Kesihatan Jalan Masjid turut meraikan kelahiran bayi berkenaan.

Ibu dan bayinya kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Kejadian itu merupakan kes pertama wanita melahirkan bayi di dalam bas awam MADANI sejak perkhidmatan berkenaan diperkenalkan beberapa tahun lalu.
Sumber: Utusan Borneo
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
